Sunday 22 April 2012

Pakatan Rakyat S’wak perlu bekerja keras hadapi PRU13




Posted on April 21, 2012, Saturday

KUCHING: Timbalan 1 Pesuruhjaya PAS Sarawak, Mohd Shokri Ahmad Fauzi meminta semua pihak terutama ahli-ahli dan pe-nyokong Pakatan Rakyat agar bekerja keras dari sekarang bagi menguatkan jentera parti pembangkang.

Mohd Shokri berkata, dengan semangat kerjasama mereka dapat menarik seramai mungkin pengundi untuk memastikan Pakatan Rakyat (PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP) menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PAS Kawasan Petra Jaya berkata, keupayaan Pakatan Rakyat memenangi seberapa banyak kerusi Parlimen perlu menjadi kenyataan selain mengekalkan kerusi Parlimen yang telah dimenangi.

“Kita perlu bekerja bersungguh-sungguh, kita mahu jumlah kerusi yang dimenangi bertambah.

“Pada PRU12 lalu, Pakatan Rakyat (DAP) cuma menang satu kerusi di bandar Kuching manakala satu lagi kerusi juga dimenangi DAP pada pilihan raya kecil di Sibu,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Menurut Mohd Shokri, pada PRU lalu Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di 12 kawasan Parlimen di Sarawak dan semuanya tumpas di tangan Barisan Nasional (BN).

Manakalan PAS pula hanya meletakkan seorang calon di Sarawak pada PRU 2004 dan 2008.

Beliau menarik perhatian bahawa pada pilihan raya negeri lalu PAS telah mendapat tempat di hati rakyat Sarawak yang berbilang bangsa dan agama.

“PAS telah membuktikan kesungguhan mereka untuk menambat hati para penyokong di Sarawak. Justeru, kita yakin sokongan akan bertambah pada PRU13 nanti,” katanya.

Sementara itu, PAS Sarawak akan mengadakan majlis perasmian markasnya di Lorong 4, Taman Matang Jaya pada jam 9 malam esok (Ahad).

No comments:

Post a Comment