Monday 16 April 2012

Rakyat harus setia sokong BN: Karim

 

by Rusnan Mustafa. Posted on April 16, 2012, Monday

Jika sebaliknya, perancangan bangunkan sesuatu kawasan mungkin terbantut

ASAJAYA: Rakyat di negeri ini harus setia menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan perancangan pembangunan yang dilaksanakan tidak terjejas.
Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jika rakyat beralih arah menyokong pihak pembangkang, perancangan untuk membangunkan sesuatu kawasan itu mungkin akan terbantut.
“Sekarang kita dapat melihat pelbagai perubahan yang telah dibawa oleh kerajaan BN untuk rakyat.
“Malah, pelbagai perancangan sudah diatur untuk rakyat bagi memastikan pembangunan berjalan dengan lancar untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa perasmian program gotong-royong di Kampung Asajaya Hulu di sini semalam.
Tambahnya, sokongan daripada akar umbi secara berterusan amat ditagih bagi melancarkan pelaksanaan pembangunan di sesebuah kawasan.
Selain itu, beliau yang juga ADUN Asajaya mencadangkan agar program gotong-royong dijadikan aktiviti tahunan setiap kampung di kawasan itu.
“Program sebegini amat baik dalam usaha kita bersama-sama menjaga kebersihan kampung untuk menghindari segala penyakit yang merebak di kawasan-kawasan kotor.
“Pada masa yang sama, program ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara masyarakat di dalam kampung,” jelasnya.
Justeru, beliau berharap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terus merancang program-program bermanfaat kepada masyarakatnya.
“Bersama-samalah kita memastikan perpaduan dalam kampung terus terpelihara menerusi program-program sebegini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment