Monday 16 April 2012

Kumpulan 5 dakwa miliki kelebihan di Mas Gading

 

Posted on April 16, 2012, Monday

BAU: Kumpulan 5 kini mendakwa mereka mempunyai kelebihan di konstituensi Mas Gading selepas berjaya menarik paling ramai peserta ke majlis makan malam mereka pada Sabtu lepas.
Pada malam yang menyaksikan tiga majlis makan malam politik diadakan serentak di tempat berasingan di Bau, jurucakap Datuk Peter Nansian berkata sokongan lebih tinggi bagi K5 kerana kesemua 120 meja pada majlis makan malam K5 diisi penuh.
Dengan lebih 1,000 orang di majlis K5 itu, beliau seterusnya berkata jumlah ini lebih tinggi berbanding jumlah hadirin pada majlis makan malam Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di Dewan Suarah Bau dan majlis makan malam Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Sungai Pinang.
Nansian malah mendakwa majlis K5 itu sebenarnya dapat menarik lebih ramai peserta tetapi penganjur terpaksa menolak permintaan penyokong untuk menambah meja atas nasihat penyedia jamuan (katerer).
Maka itu, beliau percaya kebanyakan rakyat masih menyokong calon K5 di Mas Gading, Ahli Parlimen sekarang Datuk Dr Tiki Lafe untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum sebelum ini.
“Ia bukan hanya mengenai jumlah tetapi juga orang yang datang.
“Di sini, kita ada pemimpin dari semua peringkat, ketua masyarakat, ketua politik dan rakyat jelata bersama kami.
“Kami tidak ‘mengimport’ orang untuk datang memandangkan semua hadirin berasal dari Mas Gading.
“Ini menunjukkan Dr Tiki adalah calon terbaik dan boleh menang di sini,” katanya dalam ucapannya.
Turut hadir ialah Dr Tiki, selain anggota K5 lain iaitu Datuk Sylvester Entri Muran, Paulus Palu Gumbang dan Rosey Yunus.
Duduk bersama mereka di meja utama adalah Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Wilfred Rata Nissom dan Temenggung Bidayuh Bahagian Kuching Datu Stephen Jussem.
Nansian juga mendakwa K5 menerusi Kelab BN akan menguasai Mas Gading dan mereka berhak untuk mencadangkan calon BN.
Sambil menepis kenyataan baru-baru ini oleh Ketua Puteri SPDP Barbara Mawan bahawa Mas Gading perlu diselamatkan, beliau berkata tiada apa yang perlu diselamatkan memandangkan kerusi itu masih milik BN.
“Puteri SPDP berkata Mas Gading mesti diselamatkan… nak selamatkan apa?
“Saya mencadangkan mereka menyelamatkan kerusi DUN yang tewas di Krian dan Ba’Kelalan,” katanya.
Selain Nansian, semua anggota K5 lain turut berucap dan meminta hadirin supaya terus menyokong Dr Tiki sebagai Ahli Parlimen mereka dan calon pilihan raya.
Entri berkata hadirin pada majlis itu adalah penyokong sebenar BN dan mengkritik kem lain kerana melemahkan BN.
Beliau turut mendakwa ia adalah tidak logik bagi SPDP untuk menggantikan Dr Tiki dan menyatakan dua nama yang dicadangkan oleh SPDP tidak dikenali sebagai orang yang memberi khidmat kepada rakyat di situ.
Dr Tiki dalam ucapannya berkata beliau telah mengadakan perbincangan peribadi selama 10 minit dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana pada 25 Mac lepas dan mendakwa diberitahu oleh Najib untuk menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen dan turun ke akar umbi dengan lebih kerap.
“Muka saya sekarang muncul hampir setiap hari dalam akhbar seakan-akan saya ‘orang jahat’ tetapi itu adalah pendapat pihak lain.
“Sebagai wakil rakyat Mas Gading, saya telah berusaha gigih untuk memberi khidmat kepada rakyat,” katanya sambil menambah ADUN Opar Ranum Mina turut menyokong untuk majlis makan malam tersebut.
Nissom turut membuat kejutan apabila beliau berucap pada majlis itu tetapi menyuarakan kebimbangannya mengenai perpecahan di kalangan penyokong BN di Mas Gading.
“Itu adalah kebimbangan utama kami, kerana DAP gembira melihat perpecahan di kalangan penyokong BN,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyuarakan sokongan kepada Dr Tiki jika dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Majlis itu turut menyaksikan sekumpulan kecil pelawat dari utara negeri yang datang bersama Entri, Rosey dan Paulus.

No comments:

Post a Comment