Tuesday 17 April 2012

PBB kenal pasti tiga calon di Parlimen Kota Samarahan

Posted on April 17, 2012, Tuesday
ASAJAYA: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah mengenal pasti tiga individu untuk disenarai pendek sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kota Samarahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Ahli Majlis Tertinggi PBB Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan, salah seorang daripada tiga individu terbabit wanita yang merupakan anak tempatan di kawasan itu.
Jelasnya, ketiga-tiga nama individu berkenaan akan diserahkan kepada pemimpin tertinggi BN dinilai sebelum salah seorang daripada mereka dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya dijangka tidak lama lagi.
“Untuk Parlimen Kota Samarahan tiga nama termasuk seorang wanita telah disenarai pendek dan saya rasa tidak akan menghadapi masalah sekiranya seorang daripada mereka dipilih, yang lain saya percaya mereka akan terus memberi sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai nama-nama individu dari kawasan itu yang akan disenaraikan untuk diserahkan kepada pemimpin tertinggi BN bagi dipilih sebagai calon dalam PRU13 kelak.
Bagaimanapun Karim enggan mendedahkan nama-nama individu tersebut tetapi beliau yakin calon yang akan bertanding untuk mempertahankan kerusi tersebut adalah seorang anak tempatan.
“Saya rasa kali ini seorang anak tempatan akan bertanding (bagi Parlimen Kota Samarahan)… itu saya rasalah,” tambahnya.
Pada masa ini, banyak khabar angin didengar menyatakan bahawa calon wanita merupakan anak tempatan itu adalah Pegawai Daerah Asajaya Rubiah Wang yang akan dipilih sebagai calon kerusi Parlimen berkenaan.
Selain itu, Karim yang juga Menteri Muda Perumahan dan ADUN Asajaya memberitahu, BN tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk menang di Parlimen Kota Samarahan yang dilabelnya sebagai kawasan putih.
“Kita tidak menghadapi masalah walaupun ada ura-ura mengatakan ada ‘orang berjalan’ sebelum pilihan raya.
“Ramai orang akan menjaja diri mereka sama ada daripada pihak pembangkang ataupun pihak perseorangan atau daripada BN sendiri untuk memperkenalkan diri mereka kepada penduduk kampung,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau memberitahu bahawa pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang agak genting tetapi bukan di Sarawak.
“Pilihan raya kali ini saya lihat satu pilihan raya yang agak genting sekali tetapi tidak di Sarawak kerana kita baharu sahaja melalui pilihan raya negeri di mana keputusan masih berpihak kepada kita (BN),” katanya.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan BN akan menghadapai masalah di beberapa kawasan bandar di negeri ini jika masalah dalaman parti komponen BN lain tidak diselesaikan.
Justeru, beliau berharap kemenangan besar dalam pilihan raya negeri lalu akan berterusan dalam PRU nanti dengan menyarankan semua parti komponen terus bersatu tanpa berlakunya persengketaan dalaman.

No comments:

Post a Comment