Sunday 22 April 2012

Cadangan hapus PTPTN kurang munasabah



by Agnes Tugong. Posted on April 21, 2012, Saturday


Malaysia bukan negara berpendapatan tinggi, pemansuhan akan lenyap persaingan pelajar: Ahmad

KUCHING: Pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) perlu diteruskan atas beberapa sebab yang menyekat ia daripada dihapuskan.
Perkara itu ditegaskan dan disokong penuh oleh Timbalan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan selepas mengambil kira pandangan daripada para mahasiswa.
Menurut beliau, sejajar dengan objektif penubuhannya, PTPTN bertujuan membantu pelajar kurang berkemampuan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).
Justeru, katanya, cadangan untuk menghapuskan PTPTN kurang munasabah untuk dilaksanakan pada masa ini apatah lagi Malaysia bukan negara berpendapatan tinggi.
“Berdasarkan kepada maklum balas yang diterima daripada mahasiswa IPTA dan IPTS di sini hari ini (semalam) semua mereka bersetuju agar PTPTN tidak dihapuskan seperti yang dibangkitkan.
“Jika ia dihapuskan, pertama ia bukan sahaja akan membebankan pelajar IPTS malah melenyapkan elemen persaingan dalam kalangan pelajar untuk mencapai anugerah kelas satu bagi melayakkan mereka daripada pengecualian bayaran balik PTPTN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Sembang-Sembang Menteri dengan Pemimpin Mahasiswa IPTA/IPTS di Tingkat 6, Akademi Percukaian Lembaga Hasil Dalam Negeri di sini semalam.
Kira-kira 130 orang mahasiswa menghadiri program anjuran Biro Tatanegara Negeri Sarawak tersebut yang mana topik perbincangan utama adalah mengenai isu PTPTN.
Terdahulu, Ahmad berkata 83 peratus peminjam telah membayar PTPTN mereka dan hanya 17 peratus gagal berbuat demikian.
Katanya, kerajaan membiayai 90 peratus daripada kos pengajian di IPTA dan sehingga tahun 2011 sejak PTPTN diperkenalkan pada tahun 1996, jumlah kos pengajian yang dibiayai oleh kerajaan adalah RM42.9 billion.
Dalam pada itu, menurutnya, PTPTN hanya mengenakan 1 peratus caj perkhidmatan kepada peminjam dan beliau menyokong penuh jika caj tersebut dihapuskan.

No comments:

Post a Comment