Friday 27 April 2012

Mordi sedia dicalon di Mas Gading

Posted on April 27, 2012, Friday

KUCHING: Biarpun baru setahun jagung dalam arena politik, Mordi Bimol, 27, bersedia dicalonkan untuk kerusi Parlimen Mas Gading pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika kerusi itu diperuntukkan kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Ditemui selepas mengadakan sidang media di ibu pejabat DAP Negeri semalam, beliau memberitahu bahawa dirinya sudah bersedia dengan semua isu berbangkit di kawasan itu sebagai senjata berkempen kelak.

“Sama ada saya akan dicalonkan pada PRU nanti untuk Mas Gading atau sebaliknya dan sama ada saya dipilih (menang) atau tidak saya akan terus berkhidmat untuk parti dan pada masa sama memperjuangkan hak rakyat di kawasan itu,” katanya.

Menurut naib pengerusi DAP Tasik Biru itu, isu utama di kawasan Mas Gading ialah kemudahan asas yang disifatkannya begitu teruk selain berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Rakyat di sana sudah tahu kepada siapa mereka rujuk sekarang setiap kali berdepan masalah tanah Hak Adat Bumiputera kerana untuk ke mahkamah orang kampung tak ada wang dan alternatifnya DAP sedia menghulurkan bantuan,” katanya sambil menambah sokongan akar umbi terhadapnya semakin meningkat.

Sementara itu pada sidang medianya Mordi yang juga penasihat khas kepada Ahli Parlimen Bandar Kuching yang juga Setiausaha DAP Negeri Chong Chieng Jen, mempersoalkan kualiti jalan Kampung Apar, Singai, Bau yang baharu sahaja siap diturap yang dikatakannya hanya setebal setengah inci.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Majlis Daerah Bau (MDS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang hanya menurap sebahagian sahaja jalan memasuki pekarangan rumah di kampung itu.

Tinjauan beliau ke kampung itu kelmarin katanya, pihak yang melaksanakan projek menaik taraf jalan kampung berkenaan hanya menurap jalan memasuki pekarangan hingga ke bahagian hadapan beberapa rumah manakala yang lain kerja-kerja penurapan hanya setakat jalan utama memasuki simpang ke rumah.

“Kami gembira kerajaan melaksanakan projek ini, suatu yang dinanti-nantikan selama ini.

“Namun yang menimbulkan persoalan hanya beberapa rumah jalannya diturap hingga ke hadapan rumah manakala yang lain tidak.

“Jalan yang diturap juga tidak berkualiti kerana hanya setebal setengah inci… justeru saya akan menulis surat kepada MDS dan JKR untuk mengetahui lebih lanjut kos projek ini selain mengetahui apa kriteria yang membolehkan jalan memasuki rumah penduduk diturap,” katanya.

Mordi menambah, kerja-kerja penurapan jalan kampung berkenaan perlu dilakukan dengan adil dengan semua jalan memasuki rumah penduduk kampung diturap tanpa mengambil kira latar belakang sosial mereka.

No comments:

Post a Comment