Sunday 22 April 2012

BN harus waspada SWP: Kr Annuar




Posted on April 21, 2012, Saturday

SIBU: “Jika Parti Pekerja Sarawak (SWP) memihak ke Barisan Nasional (BN) maka dia adalah kawan tetapi jika SWP memihak kepada pembangkang, ia adalah musuh,” kata Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Dudong, Kaunselor Annuar Bai.

Menurutnya, perjuangan SWP ini masih kabur dan tidak diketahui ke mana arah parti itu sama ada ia berjuang untuk politik atau sebaliknya.

“SWP masih belum diketahui arah tujunya dan BN harus berwaspada dengan kehadiran SWP ini kerana ia dikaitkan berminat dengan kerusi milik Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan datang.

“Walau bagaimanapun, BN perlu berhati-hati dengan kehadiran SWP ini kerana kewujudannya di negeri ini menjadi teka-teki,” ujarnya kepada Utusan Borneo, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai SWP yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tiga hari lepas.

ROS telah meluluskan SWP menurut Presiden Penajanya, Dr Ong Lark Sai seperti diterbitkan oleh akhbar-akhbar tempatan kelmarin.

Annuar memberitahu, komponen BN di negeri ini tidak gusar berhadapan dengan SWP sekiranya parti itu mencabar BN pada PRU13.

“PBB, PRS, SPDP dan SUPP akan bekerjasama serta bergabung untuk menentang SWP ini. Kita yakin bahawa parti-parti komponen BN mampu mengatasi cabaran SWP ini seandainya mereka menjadi musuh kepada kita.

“Bagi rakan-rakan kita di PRS, jangan bimbang dengan kehadiran SWP ini. Kami di PBB serta rakan-rakan parti komponen yang lain akan turut membantu anda dengan ancaman terbabit,” tegasnya lagi.

Beliau berpendapat, kehadiran SWP ini mempunyai kaitan dengan agenda lain serta kepentingan lain atau sebaliknya jika SWP ini terlibat dalam PRU13.

“Mungkin kewujudannya adalah disebabkan musuh politik yang difahamkan berminat untuk bertanding di kawasan-kawasan yang membabitkan wakil daripada PRS pada PRU13 yang akan datang. Ini kerana dalam akhbar SWP hanya melawan PRS tetapi kita masih belum tahu setakat mana kebenarannya.

“Jika SWP ini merupakan ancaman kepada PRS, SWP harus ingat bahawa PRS mempunyai tiga rakan komponen yang lain,” tambah beliau lagi.

No comments:

Post a Comment