Tuesday 24 April 2012

Hasbi dapat sokongan peringkat akar umbi



Posted on April 24, 2012, Tuesday

LIMBANG: Seramai 52 ketua masyarakat dan ketua kampung di daerah ini berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Hasbi Habibollah sebagai calon bagi kerusi Parlimen P.221 Limbang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Sokongan tidak berbelah bahagi itu disuarakan pada Program Memperkasa Jaringan Komuniti anjuran Jawatankuasa Kebajikan Kanak-kanak Daerah Limbang di sini Sabtu lepas.

Ketua masyarakat Melayu/Kedayan Pemanca Alie Jahar berkata, ketua kaum dan ketua kampung yang terdiri daripada pelbagai kaum itu sebulat suara mahu Hasbi dicalonkan semula di kerusi itu pada PRU13 kelak.

“Kami sepakat untuk menyokong Hasbi sebagai calon bagi kerusi Parlimen P221 pada pilihan raya kelak dan berusaha keras bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi tersebut,” katanya.

Ketua masyarakat bagi kaum Iban Pemanca Willie Marum, 65, berkata ketua masyarakat Iban di peringkat akar umbi sentiasa memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Hasbi.

Beliau yang juga pengerusi Persatuan Tuai-tuai Rumah Iban Limbang akan turun padang bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai dasar kerajaan.

Pada masa sama beliau mahu tuai-tuai rumah Iban menjaga anak-anak buah dan kawasan mereka daripada terpengaruh dengan hasutan pembangkang.

“Jangan biarkan pembangkang meracuni pemikiran masyarakat kita dengan fitnah dan tohmahan untuk memburuk-burukkan kerajaan.

“Ini penting agar segala projek pembangunan yang diberikan kepada rumah-rumah panjang berjalan dengan lancar dan tidak tergendala hanya kerana hasutan tersebut,” jelasnya.

Willie memberi keyakinan dan kepercayaan kepada tuai-tuai rumah yang dilantik oleh kerajaan di daerah ini agar dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik di kawasan masing-masing.

“Memang ada usaha sedang dilakukan pembangkang untuk menghasut rakyat. Namun kita harus tegas dan jangan sesekali membenarkan mereka (pembangkang) untuk memecah belahkan rakyat,” katanya.

Penghulu Abdullah Osman berkata mereka berjanji akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan kemenangan BN dan mengekalkan Hasbi sebagai Ahli Parlimen Limbang pada pilihan raya kali ini.

“Kami yakin Hasbi akan dapat meraih undi serta kemenangan yang lebih baik pada pilihan raya akan datang berdasarkan prestasi cemerlang dan kerja keras yang beliau bawa kepada rakyat di kawasan ini.

“Malah beliau juga seorang wakil rakyat yang kuat bekerja dan berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin dengan baik,” jelasnya.

Kata Abdullah lagi bagi memastikan BN terus memenangi PRU13 kelak, beliau dan ketua masyarakat lain sudah turun padang berkempen bagi menerangkan dasar kerajaan.

Jelasnya walaupun tiada kawasan kelabu di bawah jagaannya, namun ketua masyarakat harus bekerja kuat setiap masa sekali gus memastikan rakyat terus setia di belakang kerajaan BN.

No comments:

Post a Comment