by Reno Benjamin. Posted on April 28, 2012, Saturday
Sarawak terus membangun menerusi agenda transformasi nasional
SIBU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap agar rakyat memberi mandat untuk beliau terus memimpin negara ke arah yang lebih baik dan sejahtera, untuk semua rakyat di seluruh pelosok negara ini.
“Jika diberi mandat, kita dapat buat lebih banyak lagi dalam masa lima tahun akan datang, termasuk kepada semua masyarakat dan komuniti di negeri-negeri penting seperti Sarawak.
“Sememangnya kita ingin melihat negeri Sarawak terus membangun dan berjaya lebih-lebih lagi dalam konteks pembaharuan agenda transformasi nasional yang kita sedang perjuangkan dengan bersungguh-sunguh,” ujarnya.
Berucap pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di sini malam kelmarin, Perdana Menteri melahirkan keyakinan Sarawak mempunyai masa depan yang cukup cemerlang dengan adanya kerjasama erat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
“Kita mempunyai kesefahaman yang mantap yang membolehkan kita melaksanakan satu demi satu pembangunan dan pembaharuan di setiap pelosok negeri Sarawak,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta kerajaan negeri.
Dalam mentransformasikan negara menuju sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi, Perdana Menteri memberitahu ia memerlukan penglibatan semua 28 juta penduduk Malaysia.
Katanya, beliau mengimpikan sebuah negara Malaysia yang maju, makmur dan membangun, yang boleh dicapai sekiranya semua rakyat mempunyai impian dan wawasan yang sama.
“Semua itu bukan suatu yang mustahil kerana kita adalah kerajaan yang
deliver dan ini telah dibuktikan. Pihak pembangkang pula tidak dapat ‘deliver’ dan hanya pandai berjanji,” ujarnya sambil menambah pihak pembangkang juga tidak dapat menandingi pelbagai program transformasi yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut Perdana Menteri lagi, rakyat negara ini tidak harus mengambil risiko dan memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk menguruskan negara memandangkan Malaysia sebuah negara yang kompleks dan tidak mudah untuk diuruskan.
Pihak pembangkang, katanya, tidak pernah membuktikan keupayaan mereka untuk menguruskan negara ini dan sejak pilihan raya umum empat tahun lepas, pihak pembangkang tidak pernah berjaya membentuk kabinet bayangan mereka.
“Jika mereka tidak dapat membentuk kabinet bayangan, bagaimana kita boleh beri kepercayaan kepada mereka untuk mentadbir negara ini. Sebaliknya hanya BN yang boleh ‘deliver’ serta membangun dan menyatukan negara ini,” jelas Najib.
Menyentuh mengenai konteks Sibu dan Sarawak, Najib berkata kerajaan akan terus menunaikan janji yang dibuat kepada penduduk negeri ini, termasuk kepada penduduk Sibu walaupun BN tewas pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada 2010.
Katanya, kerajaan telah melaksanakan fasa pertama Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sibu dengan kos RM230 juta yang membantu mengurangkan masalah banjir di bandar ini, di samping keputusan bagi melaksanakan fasa kedua projek akan dibuat dalam masa terdekat.
Projek lain yang dilaksankan termasuk membina terminal baharu Lapangan Terbang Sibu (LTS) yang dijadual siap September ini dengan kos RM137 juta, pembinaan laluan berkembar dari persimpangan pekan Julau ke LTS dengan kos RM200 juta, Jalan Sibu-Tanjung Manis yang telah dibina dengan kos RM550 juta serta kerja-kerja mengorek dasar Sungai Seduan dan Pulau Kerto di Batang Rajang dengan kos RM15 juta.
Hadir sama pada majlis malam kelmarin ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, menteri-menteri kabinet persekutuan dan negeri serta yang lain.
No comments:
Post a Comment