Sunday 22 April 2012

Aying jangan salahkan orang lain: Kr Ellison




Posted on April 21, 2012, Saturday

KAPIT: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Pelagus, Kaunselor Ellison Silo menegaskan Presiden PRS Tan Sri James Masing sama sekali tidak terlibat dalam konflik yang melanda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) ketika ini.

Beliau yang juga Timbalan Pemuda PRS negeri berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Pengerusi SPDP Lambir, Stewart Aying yang membangkitkan kenyataan Masing mempertahankan kehadiran Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Wilfred Nissom pada Majlis Makan Malam REDEEM baru-baru ini.

Tegasnya, Aying tidak seharusnya membawa PRS ke dalam konflik parti SPDP, sebaliknya bertanya kepada pemimpin tertinggi parti itu punca wujudnya konflik dalam parti mereka.

“Aying tidak seharusnya menuding jari kepada orang lain hanya kerana wujudnya konflik dalam parti mereka. Sebaliknya, SPDP seharusnya mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Wong Judat yang secara terbuka berkempen melawan Ahli Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang Gandum.

“Tindakan Wong Judat ternyata salah kerana beliau merupakan ahli Parti SPDP, yang juga merupakan salah satu komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak. Aying seharusnya lebih peka dengan masalah ini,” katanya.

Justeru, katanya, sekiranya benar Wong Judat ingin melawan Salang di Julau, beliau seharusnya bersikap ‘gentlemen’ keluar dari BN seperti mana yang dilakukan oleh Edwin Ngumbang serta Patrick Sibat yang keluar dari PRS kerana melawan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Alfred Jabu dan Datuk Jacob Dungau Sagan tidak lama dulu.

Jelasnya lagi, kehadiran Nissom pada majlis tersebut kerana beliau merupakan Pengerusi seumur hidup REDEEM.

Tidak salah Nissom hadir kerana beliau merupakan Setiausaha Politik Ketua Menteri dan mengiringi menteri yang hadir pada majlis tersebut, katanya.

No comments:

Post a Comment