Wednesday 18 April 2012

Masalah air di Matu, Daro selesai pada Ogos

Posted on April 18, 2012, Wednesday
 
MATU: Masalah bekalan air di kawasan Matu dan Daro akan selesai setelah projek membina dan menyiapkan bekalan air luar bandar (BALB) wilayah Matu dan Daro siap pada Ogos tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Abu Seman Jahwie berkata, proses pembinaan projek itu pada tiga bulan lepas adalah siap sebanyak 20 peratus dan sekarang berkemungkinan siap lebih daripada 50 peratus.
“Ini kerana, projek itu dijangka siap pada Ogos (tahun) ini. Masalah air menjadi isu utama kepada penduduk di Jemoreng dan Daro kerana sering berhadapan dengan masalah terbabit dan lebih memburukkan lagi keadaan ialah sekarang musim kering atau panas,” ujarnya kepada Utusan Borneo ketika ditanya mengenai masalah bekalan air di kedua-dua daerah itu yang sering terganggu, kelmarin.
Terdahulu, beliau telah menghadiri mesyuarat dengan para pemimpin setempat di Pejabat Daerah Matu di sini.
Menurutnya yang juga merupakan Setiausaha Politik Ketua Menteri, kos pembinaan projek terbabit memakan belanja sebanyak RM79 juta yang telah bermula sejak Ogos tahun lepas dan ia dijangka memakan masa selama 18 bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
“Setakat kali terakhir saya melakukan tinjauan ke projek terbabit pada dua tiga bulan yang lalu ia siap sebanyak 20 peratus.
“Ia termasuk kerja-kerja menimbus pasir, menanam cerucuk, membina tangki air aras tinggi dan membina rumah pam air.
“Sekarang saya difahamkan oleh pihak berkenaan bahawa ia siap kira-kira lebih daripada 50 peratus. Saya percaya projek itu berjalan dengan lancar dan diharap ia akan dapat siap dengan secepat mungkin,” jelasnya.
Ujarnya, kira-kira 17,369 penduduk di DUN Jemoreng akan mendapat manfaat daripada projek bekalan air itu apabila ia siap kelak.
Mengikut rancangannya, jelas beliau lagi, projek bekalan air paip itu turut meliputi pemasangan saluran paip dari Kampung Bruan Mepal hingga ke Rumah Anyut, dari Kampung Bawang ke Kampung Nanga Besar dan terus ke rumah-rumah panjang di Daro.
Bagi rumah-rumah panjang di DUN Jemoreng ujarnya, pihaknya akan memantau keadaan di sana agar dapat disalurkan dengan bekalan air melalui projek tersebut.
“Di bawah kawasan saya, sebanyak enam rumah panjang yang masih belum mendapat bekalan air dan saya akan cuba membantu mereka ini secara berperingkat-peringkat kerana faktor kedudukan yang agak jauh di pedalaman.
“Saya berharap apabila projek bekalan air ini siap kelak, masalah ketiadaan air, kekurangan dan tekanan bekalan air rendah yang kerap menghantui kebanyakan kampung di Matu dan Daro selama ini akan dapat diselesaikan,” tegasnya.
Apabila siap kelak tambahnya, loji perawatan air itu berkeupayaan membekal 10.5 juta liter (MLD) sehari. dan hampir semua kampung di Daro dan Matu kini menikmati bekalan air paip tetapi ada antara kampung-kampung berkenaan mengalami kekurangan bekalan dan tekanan air yang rendah.

No comments:

Post a Comment