Monday 30 April 2012

Bersih 3.0 promosikan budaya kasar, ganas, burukkan imej Malaysia

Posted on April 30, 2012, Monday

LIMBANG: Perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 yang diadakan kelmarin bukan saja mempromosikan budaya kasar dan ganas di kalangan penyokongnya tetapi boleh memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata budaya tersebut amat bertentangan dengan sifat sebenar rakyat Malaysia yang memiliki nilai-nilai murni dan budaya timur.

Menurut beliau lagi perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan keadaan dan perpaduan di negara ini.

“Perhimpunan Bersih telah menjejaskan keadaan di Malaysia dan budaya seperti itu begitu asing dan boleh merosakkan imej Malaysia kerana mempromosikan budaya kasar dan ganas,” katanya kepada Utusan Borneo ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan Bersih yang bertukar menjadi ganas kelmarin.

Ia berikutan tindakan penyokongnya bertindak mencederakan anggota polis serta merosakkan harta benda awam ketika menyertai perarakan haram menuju ke Dataran Merdeka.

Dr Rahman berkata lagi keadaan huru-hara itu juga amat bertentangan dengan jaminan yang diberikan pihak penganjur yang berjanji untuk mengadakan perhimpunan secara aman.

“Meskipun penganjur telah memberi jaminan akan memastikan bahawa perhimpunan itu berlangsung dengan aman, namun perhimpunan itu tetap disusuli dengan pelbagai insiden yang melanggar undang-undang,” katanya.

Antaranya katanya perlakuan ganas, merempuh sekatan polis serta membawa anak kecil sekali gus gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2011.

“Tidak cukup dengan itu, peserta-peserta demonstrasi juga bertindak liar apabila mereka menyerang dan menterbalikkan sebuah kereta polis yang terbabas,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau yakin rakyat Sarawak tidak akan terpengaruh dengan budaya kasar yang ditunjukkan pada perhimpunan Bersih terbabit.

“Di Sarawak rakyat tidak gemar dengan sikap kasar dan asing yang jauh terpesong daripada budaya kita.

“Kita percaya rakyat tidak akan terpengaruh dan menolak budaya tersebut kerana ia boleh menjejaskan keharmonian yang kita nikmati selama ini,” katanya.

Beliau juga mahu rakyat terus bangun khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak untuk memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memerintah negara ini sekali gus memastikan perpaduan dan keharmonian terus subur di negara ini.

No comments:

Post a Comment