Wednesday 18 April 2012

Calon baharu wanita disenarai

by Wan Ali Amit. Posted on April 18, 2012, Wednesday
 
GEMBIRA: Para penerima merakamkan kenangan selepas menerima pingat perkhidmatan setia daripada Ketua Menteri di Kota Samarahan, semalam.


KOTA SAMARAHAN: BN Negeri sedang meneliti senarai calon yang bakal bertanding pada PRU13, kata KM.
Barisan Nasional (BN) Sarawak akan menyenaraikan calon wanita muka baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Pengerusi BN Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, namun ia bergantung kepada pemilihan pucuk pimpinan BN Pusat.
“Saya tidak boleh memberitahu anda sekarang, tetapi keputusan itu akan dibuat sebelum PM (Datuk Seri Najib Tun Razak) memuktamadkannya,” katanya.
Taib berkata BN Negeri kini sedang meneliti senarai calon yang bakal bertanding setelah semua parti komponen BN Negeri diarah menyiapkan senarai calon-calon mereka sebelum dikemukakan kepada BN Pusat.
“Kami sedang meneliti dan melihat calon-calon yang sesuai dan berpotensi besar untuk bertanding pada PRU13 nanti.
“Apabila semuanya (calon-calon) sudah siap, kami akan hantar senarai mereka kepada Pengerusi BN Pusat pada masanya (tempoh) seperti mana yang PM (Perdana Menteri) mahu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini semalam.
Isnin lalu, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menyatakan bahawa BN Pusat akan menghantar surat kepada pemimpin-pemimpin parti komponen BN Negeri untuk menghantar senarai nama calon bertanding pada PRU13 nanti.
Adnan dipetik sebagai berkata: “Perkara itu diarahkan Perdana Menteri selaku pe-ngerusi BN Pusat dan mereka (Pengerusi BN Negeri) diberi masa sehingga hujung bulan ini untuk mengemukakan senarai calon masing-masing.”
Beliau juga berkata ada parti komponen yang tidak mahu lagi bertanding di kawasan yang diperuntukkan kepada mereka sebelum ini, sebaliknya kawasan itu lebih sesuai ditandingi parti komponen (BN) lain.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah senarai nama calon BN Sarawak sudah dimuktamadkan, Taib berkata: “Kami masih menyiapkan calon-calon dan apabila semuanya sudah selesai baharu kami hantarkan senarai pada masanya.”
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Morshidi Ghani dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Mohd Yahaya Basimin.
Seramai 310 orang kakitangan awam yang telah lama berkhidmat termasuk mereka yang sudah bersara menerima pingat masing-masing daripada Ketua Menteri.

No comments:

Post a Comment