Wednesday 18 April 2012

PBB tidak akan beri laluan mudah kepada PR rebut Parlimen Limbang

Posted on April 18, 2012, Wednesday
 
LIMBANG: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Batu Danau tidak akan memberi laluan mudah kepada Pakatan Rakyat (PR) yang ingin bertanding untuk merebut kerusi Parlimen P221 Limbang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.
Timbalan Pengerusi PBB Batu Danau Jun Silah berkata, pihaknya juga berazam untuk tidak akan memberi ruang kepada PR merampas kerusi tersebut yang selama ini dipegang oleh BN melalui Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah.
Jelasnya minat PR untuk bertanding di kerusi tersebut tidak patut dipandangremeh sebaliknya harus melipat gandakan usaha untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
“Kami tidak menghalang jika PAS ataupun PKR mahu bertanding dikerusi P221 Limbang pada PRU13 nanti, tetapi kami tidak akan memberi ruang kepada mereka untuk menang.
“Semua jentera pilihan raya sudah dikerah untuk melakukan persiapan rapi bagi menghadapi PRU13 yang bakal akan diadakan bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo kelmarin.
Khamis lepas Ketua Penerangan PAS Sarawak Mohd Azwani Abdul Rani berkata, parti itu akan meletakkan calon untuk bertanding di lapan kerusi Parlimen pada PRU kelak termasuk kerusi Limbang.
Jelasnya PAS turut meletakkan dua calon Iban untuk bertanding di kerusi Sibuti dan satu lagi sama ada di kerusi Igan atau Tanjong Manis.
Selain PAS, PKR melalui Pengerusinya merangkap Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Ba’Kelalan Baru Bian turut menunjukkan keinginan untuk bertanding merebut kerusi Limbang pada PRU kelak.
Jun berkata pendirian PAS dan PKR itu berbeza dengan kehendak penduduk Limbang yang mahukan BN untuk terus memberi pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.
Katanya hanya BN mampu mentadbir negeri ini termasuk daerah Limbang yang kini banyak mengalami transformasi positif yang dirasai dan dinikmati segenap lapisan rakyat.

No comments:

Post a Comment