Monday 23 April 2012

Kapit bersih daripada isu berbangkit



Posted on April 23, 2012, Monday

SIBU: Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi percaya kawasan itu bersih daripada isu berbangkit sehingga menjejaskan rentak kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya kalau ada pun isu yang cuba ditiup pembangkang menjelang PRU kali ini, beliau percaya rakyat di Kapit tidak akan terpengaruh dengan usaha sedemikian.

“Mungkin memang benar rakyat di Kapit masih memerlukan lebih banyak pembangunan, namun perkara berkenaan telah diperjelaskan dan mereka perlu bersabar.

“Ini kerana, segala kemudahan yang hendak dibangunkan di Kapit perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat seperti dirancangkan,” ujar beliau ketika ditemui Utusan Borneo.

Sambil mengambil contoh isu jalan raya yang menghubungkan Kapit/Song dengan bandar Sibu, Alexander menjelaskan ia bukanlah perkara baharu.

Jelas beliau, kerajaan telah melaksanakannya malah kontrak pembinaan jalan berkenaan telah dikeluarkan untuk ditender.

“Cuma apa yang menjadi masalahnya ialah, jalan yang hendak dibina itu belum ada di depan mata rakyat dan sebab itu mereka susah hendak percaya,” katanya.

Menurut Alexander lagi, menjelang PRU kali ini beliau menyerahkan segalanya kepada pucuk pimpinan tertinggi BN mengenai kedudukkannya sama ada dipilih sekali lagi untuk bertanding atau tidak.

Pun begitu, beliau tetap bersedia, malah jentera BN telah digerakkan dari awal lagi bagi memastikan kerusi Parlimen Kapit kekal menjadi kubu kuat BN.

Mengulas mengenai kelulusan pendaftaran Parti Pekerja Sarawak (SWP) olrh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan baru-baru ini, Alexander menjelaskan kehadiran SWP perlu dilihat secara terbuka.

Kata Alexander, Malaysia sebuah negara demokrasi dan kehadiran SWP salah satu contoh perubahan dalam politik negara.

No comments:

Post a Comment