Tuesday 17 April 2012

Penduduk Katibas dan Song menunjukkan sokongan padu kepada kerajaan BN

Posted on April 17, 2012, Tuesday

SELAMAT DATANG: Alexander (kanan) bersama Blikau (dua kanan) memotong reben sebagai tanda perasmian Program Muhibah 1Malaysia, di Rumah Japok, petang kelmarin.

SONG: Penduduk Katibas, Song, di Musah khasnya menunjukkan sokongan padu mereka kepada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas/Song Datuk Ambrose Blikau Enturan.
Rata-rata tuai-tuai rumah di sepanjang Sungai Musah menyatakan sokongan serta berterima kasih kepada kedua-dua wakil rakyat ini yang sentiasa prihatin dan meluangkan masa untuk berjumpa dengan masyarakat bawahan.
Mereka melahirkan rasa terima kasih tersebut ketika berucap dalam Program Muhibah 1Malaysia, anjuran bersama agensi-agensi kerajaan di Song, di Rumah Japok, Sungai Musah, di sini malam kelmarin.
“Kami memiliki dua wakil rakyat yang benar-benar prihatin, malah mereka berdua juga mempunyai kerjasama erat dalam usaha membawa pelbagai pembangunan sama ada pembangunan fizikal mahupun pembangunan modal insan di daerah Song dan Kapit amnya.
“Malah, saya pasti semua penduduk di sini sedar dan melihat sendiri pembangunan yang dibawa oleh kedua-dua wakil rakyat kita ini, walaupun mengambil masa yang agak lama untuk dilaksanakan namun sekurang-kurangnya kami masih berpeluang menikmati pembangunan yang ada ini,” ujar Pemanca Gudang.
Pemanca Gudang turut menggunakan peluang tersebut menyeru penduduk agar terus menyokong calon BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Sokongan berterusan kepada pemimpin sedia ada adalah penting bagi memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan tidak tertangguh dan terus berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi berkata program seperti itu memberi banyak manfaat kepada agensi-agensi kerajaan untuk membantu menjelaskan polisi serta dasar-dasar kerajaan kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Antara aktiviti yang diadakan sempena program tersebut ialah saringan kesihatan oleh Klinik Desa Nanga Tekalit, demo masakan daripada KEMAS, ceramah daripada Jabatan Penerangan Song dan Jabatan Pertanian, pendaftaran ahli RELA serta kursus asas kepada ahli baharu.
Tabung Amal Jariah RELA turut menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM 22,000 kepada Tait Jantom.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Song Joseph Laga dan Penyelia Kanan KEMAS Kapit Ambrose Abong Bugek dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Tengku Gruna.

No comments:

Post a Comment