Dhia Daniel April 29, 2012
Ketua Menteri berkata BN Sarawak mahu Najib selakuPengerusi BN Pusat untuk meneruskan perjuangan agenda pembangunan negara yang dijanjikan.
KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak akan memberi sokongan padu kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Patinggi Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan diumumkan bila-bila masa sahaja.
Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menegaskan, BN Sarawak mahu Najib selaku Pengerusi BN Pusat untuk meneruskan perjuangan agenda pembangunan negara yang dijanjikan.
“Kita akan tetap berjuang bersama dengan BN dalam satu program pembangunan yang jitu dalam menuju kepada matlamat yang sama meskipun tampuk pimpinan Perdana Menteri Malaysia silih berganti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Program Jelajah Janji Ditepati di perkarangan Wisma Bapa Malaysia. Kata Taib, setiap manifesto yang dijanjikan oleh kerajaan sentiasa ditunaikan hingga ke hari ini.
“Hari ini, kita dapat menyaksikan satu fenomena kemajuan yang membawa Malaysia ke ambang pembangunan yang sungguh membanggakan hasil daripada panduan dan perjuangan yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini untuk memastikan negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, program pembangunan yang direncanakan oleh kerajaan berjaya meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia selari dengan pendapatan negara maju yang lain.
Pertukaran minda
Justeru, Taib berkata, dalam konteks Sarawak, ia berkehendakkan pertukaran minda dan aplikasi dasar yang sesuai dengan arus pembangunan yang terdapat di negeri ini.
“Walaupun pelbagaian dasar dilaksanakan di bawah kerajaan pusat, dasar pembangunan itu harus diselarikan dan menepati dengan program pembangunan agar ia mampu dinikmati oleh semua pihak,” jelasnya.
Taib yang juga Pengerusi BN Negeri berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Sarawak telah mengalami banyak perubahan di kawasan bandar dan luar bandar.
“Sekarang, banyak kenderaan di jalan raya dan di setiap rumah panjang pula, sekurang-kurangnya memiliki tiga graduan universiti, maka, ini menunjukkan harapan daripada penduduk sangat tinggi kepada kerajaan untuk membawa pembangunan kepada mereka.
“Saya yakin Perdana Menteri sangat memahami perasaan yang di alami oleh penduduk negeri ini dan keinginan mereka,” katanya.
Oleh itu, katanya, agenda pembangunan yang dilakarkan oleh kerajaan pusat harus senada meskipun terdapat perbezaan dengan pembangunan negeri ini.
Dianggarkan kira-kira 20,000 orang awam datang menyaksikan Program Jelajah Janji itu.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beserta isteri, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berserta isteri dan beberapa menteri kabinet.
No comments:
Post a Comment