Wednesday 18 April 2012

Pembuangan kad ahli tidak bermakna: Rayan

by Nick Fletcher. Posted on April 18, 2012, Wednesday
 
Ia tidak bererti mereka sudah sah keluar SPDP, sepatutnya kad diserah di ibu pejabat jika keluar
KUCHING: Pembuangan kad keahlian ahli Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di Mas Gading kepada Kumpulan 5 (K5) sebagai tanda menyokong Kelab Barisan Nasional (BN) baru-baru ini tidak bererti mereka sudah keluar parti secara sah.
Menurut Naib Presiden SPDP Rayan Narong, pengumpulan kad tersebut daripada ahli terutama di akar umbi adalah dilakukan oleh seseorang yang berkepentingan untuk melindungi kad daripada tamat tempoh, namun apabila sesetengah daripada mereka mahu memperbaharuinya, ia tidak diberikan semula.
“Sebab itu mereka mempunyai banyak kad, kami mempunyai bukti jika kami pergi ke kampung-kampung, kebanyakan kad ini diberikan kepada wanita dan hari ini terdapat di kalangan mereka yang mahu mengambil semula kad tersebut tetapi orang ini tidak mahu memberikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat antara Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri SPDP di ibu pejabat SPDP, di sini semalam.
Hadir sama ialah Ketua Puteri SPDP Barbara Mawan, Timbalan Ketua Wanita SPDP Theresa Udam dan Timbalan Ketua Putera SPDP Eugene Dior.
Sehubungan itu, Rayan berkata tindakan sedemikian adalah tidak beretika dan tidak sewajarnya dilakukan.
“Jika mereka benar-benar mahu keluar, datanglah ke ibu pejabat dan menyerahkan kad di sini… itu adalah perkara yang seharusnya dilakukan,” katanya.
Sementara, Barbara meminta K5 memperjelaskan berhubung status Kelab BN, bahawa adakah ia menerima kelulusan daripada BN Pusat, BN Negeri dan ROS untuk menubuhkan kelab menggunakan nama BN.
Beliau menambah, tindakan K5 itu adalah amat tidak baik dan boleh menjejaskan BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.
“Kerana akhirnya, apabila tiba hari PRU13, jika SPDP tewas satu kerusi, ini bermakna ia akan menjejaskan BN secara keseluruhannya,” kata Barbara.
Justeru, beliau menyampaikan mesej kepada K5 yang dianggotai Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, ADUN Tasik Biru Datuk Peter Nansian, Datuk Sylvester Entri, Paulus Palu Gumbang dan Rosey Yunus supaya bekerjasama di bawah payung BN.
“Mari kita bekerjasama untuk memenangi kerusi tersebut daripada pembangkang di bawah semangat sebenar BN,” katanya.
Mewakili Pemuda dan Putera SPDP Eugene berkata, pihaknya akan menyokong sepenuhnya keputusan Presiden Tan Sri William Mawan Ikom untuk memilih calon bagi kerusi Mas Gading serta tiga yang lain iaitu Saratok, Baram, Bintulu.
‘Sebagai parti komponen BN, kami meminta semua penyokong untuk mengundi calon BN demi meneruskan kesinambungan pembangunan,” katanya.
Theresa kemudiannya berkata K5 tidak seharusnya menyebabkan ahli SPDP bertindak keluar parti sekiranya mereka benar-benar berjuang demi BN.
Justeru, beliau berkata akan memastikan kerusi Mas Gading kekal menjadi milik SPDP dan BN.
“Kami akan mempertahankan Mas Gading kerana ia diperuntukkan kepada SPDP dan kami juga akan sedaya upaya mempertahankan Mas Gading supaya kekal milik SPDP dan BN,” katanya.
Baru-baru ini, sekitar 1,100 penduduk di Mas Gading dilaporkan telah keluar SPDP kerana menyokong Kelab BN.
Kad keahlian SPDP mereka dibuang oleh wakil masing-masing iaitu ketua kampung dan kaunselor ketika majlis makan malam anjuran K5 di Pusat Redeem di Bau, malam Sabtu lepas.

No comments:

Post a Comment