Monday 16 April 2012

Perhimpunan Bersih 3.0 akan diadakan pada 28 April ini

Posted on April 16, 2012, Monday


BERSIH SARAWAK: Chong (duduk, dua kanan) dan yang lain semasa sidang media di premis Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) di Kota Sentosa, Kuching semalam.

KUCHING: Perhimpunan Bersih 3.0, yang menuntut pilihan raya bersih dan adil akan diadakan di Kompleks Pelancongan Sarawak dan Tebingan Kuching di sini dari jam 2 petang pada 28 April ini.
Mengumumkan semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bersih Sarawak Awang Abdillah Awang Nahar menjemput orang ramai untuk menyertainya.
“Kami mengalu-alukan orang ramai hadir bersama-sama bagi meminta kerajaan memperbaharui sistem politik Malaysia,” katanya dalam sidang media di premis Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) di Kota Sentosa, dekat sini semalam.
Awang Abdillah menambah, perhimpunan Bersih Sarawak yang diadakan di dua lokasi juga akan diajukan kepada polis.
Penyelaras Jawatankuasa Kerja Bersih Sarawak Awang Ahmad Awang Ali juga memberi jaminan bahawa perhimpunan akan diadakan secara selamat dan aman.
Beliau berkata, latihan kepada jawatankuasa kerja telah dijadualkan pada 22 April untuk memastikan keselamatan semasa perhimpunan terjamin.
Selain latihan, Awang Ahmad berkata forum untuk mendidik orang awam mengenai pilihan raya yang bersih dan adil juga akan diadakan pada 27 April.
“Kami masih belum menentukan tempatnya lagi, tetapi Bersih Sarawak akan memberitahu orang ramai di sini mengenai Bersih.
“Forum akan bermula dari jam 8 pagi hingga 11 malam,” katanya.
Turut hadir ialah Setiausaha DAP Negeri Chong Chieng Jen.

No comments:

Post a Comment