Monday 16 April 2012

Dakwaan melulu keruhkan keadaan

 

by Agnes Tugong. Posted on April 16, 2012, Monday

SEMANGAT PERPADUAN: Mawan dan ahli-ahli SPDP mengangkat gelas sebagai lambang perpaduan mereka pada majlis makan malam di Bau malam Sabtu lalu. — Foto Oleh Muhd Rais Sanusi

Pimpinan PRS tidak harus buat dakwaan wujud sabotaj oleh rakan parti komponen, kata Mawan

BAU: Pimpinan tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak seharusnya membuat dakwaan melulu wujudnya sabotaj daripada rakan parti komponen terhadap Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom berkata, bermula dengan dakwaan pertama oleh Presiden PRS Tan Sri James Masing, isu tersebut dibangkitkan lagi buat kali kedua oleh Timbalannya Datuk Joseph Entulu Belaun.
Beliau yang kecewa dengan dakwaan tersebut berkata, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku antara parti komponen Barisan Nasional (BN) sebaliknya dibawa berbincang antara pimpinan tertinggi parti.
“Saya minta maaf kerana terpaksa mengulang semula penjelasan yang telah saya buat berhubung perselisihan faham yang berlaku antara Salang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Wong Judat sehingga dianggap sebagai usaha sabotaj ke atas PRS.
“Jika anda (PRS) fikir ia adalah satu isu yang serius saya sendiri akan turun ke Julau untuk membantu memperbetulkan semula situasi tegang ketika ini,” katanya ketika berucap di hadapan ribuan penyokong SPDP Mas Gading dalam satu majlis di sini malam kelmarin.
Majlis Makan Malam Perpaduan BN yang diadakan di Dewan Suarah Bau itu merupakan anjuran SPDP bertujuan memupuk perpaduan di kalangan ahli SPDP Mas Gading selain satu usaha menarik sokongan pengundi Cina.
Kira-kira 1,000 ahli SPDP dan penduduk Mas Gading hadir pada majlis tersebut selain turut dihadiri oleh Timbalan Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing, pengerusi pengelola Anthony Nogeh, Pengerusi SPDP Tasik Biru Michael Siten dan ahli-ahli Majlis Tertinggi parti.
Dalam perkembangan berkaitan Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial turut memberi laluan kepada Kumpulan 5 untuk meneruskan perkhidmatan mereka di kawasan masing-masing tanpa perlu mengganggu program SPDP.
Beliau yang tidak menafikan penyandang Mas Gading yang juga bekas ahli SPDP Datuk Dr Tiki Lafe juga adalah calon berpotensi menang, tetap yakin dua calon berpotensi menang iaitu Anthony Nogeh dan ahli perniagaan Henry Harry Jinep akan membawa sinar kejayaan kepada Mas Gading.
“Saya tidak menafikan Dr Tiki adalah calon berpotensi menang, tetapi saya percaya terdapat lebih ramai calon yang boleh menang berbanding beliau (Dr Tiki) dan saya yakin dua calon ini, Anthony dan Henry akan membawa sinar kejayaan kepada Mas Gading,” katanya.

No comments:

Post a Comment