by Mahathir Haroun. Posted on April 21, 2012, Saturday
Jabu yakin rakyat akan kekalkan mandat BN memerintah negara
KUCHING: Barisan Nasional (BN) tidak gentar dengan penubuhan Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang baharu diluluskan pendaftarannya meskipun sekiranya ia memilih untuk bersifat membangkang.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, BN sudah lali dengan parti-parti yang menentang perjuangan berlandaskan manfaat rakyat.
“Kita tidak gusar dengan pembangkang. Adalah satu tradisi kita perlu berhadapan (pembangkang).
“Kita percaya rakyat akan mengekalkan mandat memerintah negara pada Pilihan Raya Umum kelak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada delegasi dari China di sini, semalam.
Jabu berkata lagi, isu sama ada SWP hendak mesra BN atau sebaliknya adalah terpulang kepada pemimpinnya.
“Siapa yang menyokong adalah kawan dan siapa tidak menyokong adalah lawan,” katanya.
SWP diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tiga hari lepas, demikian menurut Presiden Penajanya Dr Ong Lark Sai.
Sebelum ini, terdapat spekulasi mengaitkan parti berkenaan dengan ahli politik veteran Datuk Sng Chee Hua dan anaknya yang juga Penasihat Khas Belia Larry Sng, namun ia dinafikan oleh Ong.
Ong sebelum ini dikatakan menyokong perjuangan BN bagaimanapun memberitahu keputusan sama ada memihak parti pemerintah atau pembangkang belum dimuktamadkan.
Difahamkan parti berkenaan berminat untuk meletakkan calon di kawasan-kawasan Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.
Justeru, Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing berkata, pihaknya bersiap sedia untuk berjuang mempertahankan enam kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada pilihan raya yang lepas.
Kerusi tersebut ialah Parlimen Sri Aman, Lubok Antu, Julau, Kanowit, Selangau dan Hulu Rajang.
“Apa yang menimbulkan persoalan ialah mengapa parti itu hanya memberi tumpuan terhadap PRS,” katanya ketika dihubungi.
Malah, beliau hairan daripada enam permohonan bagi menubuhkan parti politik baharu, cuma SWP yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Ahli-ahli PRS tidak senang duduk melihat perkembangan ini dan tertanya-tanya apakah rasional di sebalik keputusan itu,” katanya.
Sementara itu di Sibu, parti-parti komponen BN negeri akan bekerjasama menentang SWP sekiranya penubuhannya bertujuan untuk mengganggu PRS.
Setiausaha Agung BN Negeri, Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, parti komponen BN saling melindungi antara sama lain dan memandang serius anasir-anasir yang menentang BN.
“Spekulasi bahawa penubuhan SWP untuk mengganggu PRS itu memang ada. Kita tak pasti sejauh mana spekulasi itu. Kita tak pasti juga idelogi dan agenda parti baharu ini,” jelasnya.
Rundi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan parti baharu SWP yang diluluskan pendafarannya oleh ROS tiga hari lepas.
Tambah beliau, politik di Malaysia adalah secara terbuka dan sekiranya sesebuah parti mengikut undang-undang, tiada halangan kepada ROS untuk memberikan kelulusan.
“Kita akan memastikan parti komponen BN tidak akan tergugat dengan kehadiran parti baharu SWP ini,” ujarnya selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Jamboree Belia Sarawak 2012 di Kem Belia Kemuyang, semalam.
No comments:
Post a Comment