Tuesday 17 April 2012

Dasar Islam diperjuangkan PAS tidak pernah berubah

Posted on April 17, 2012, Tuesday
 
KUCHING: Dasar Islam yang diperjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak pernah berubah tegas Timbalan Pesuruhjaya I PAS Sarawak Mohamad Shokri Ahmad Fauzi.
Malah, katanya PAS semakin relevan dengan dasar yang dibawa dengan situasi yang berlaku pada masa kini.
Tambahnya, PAS turut mendapat sokongan amat baik daripada pengundi-pengundi berbangsa Iban berbanding kawasan majoriti Melayu.
“Golongan bukan Islam lebih yakin dengan dasar Islam yang kita bawa.
“Sokongan Rakyat bukan Islam kepada PAS didorong sikap antipolitik perkauman yang selama ini diamalkan parti komponen BN,” dakwanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Tahunan PAS Kawasan Petra Jaya di Markas Perhubungan PAS Negeri di Matang Jaya yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Sarawak Adam Ahid baru-baru ini.
“Pandangan serong dan salah faham terhadap PAS yang berakar umbi sejak hampir 19 tahun di Sarawak kini kian terhakis apabila komuniti bukan Islam turut memberi sokongan kepada calon-calon PAS dalam pilihan raya negeri lalu walaupun kita tewas tetapi kita tidak hilang wang deposit,” tambahya.
Shokri amat yakin bahawa PAS diterima masyarakat Islam di negeri ini kerana ia memperjuangkan keadilan, keselamatan untuk semua bangsa kerana ‘PAS untuk semua’.
Mengulas mengenai hasrat PAS untuk meletak calon bukan Islam beliau menjelaskan ia hanya dakyah politik tidak berasas.
Pada masa sama, beliau memberitahu PAS akan terus memperjuangkan hukum hudud jika Pakatan Rakyat berjaya menjadi sebuah kerajaan.
“Sebelum ini, pesuruhjaya PAS Negeri telah menegaskan bahawa hukum hudud hanya akan dikenakan untuk orang Islam sahaja, orang bukan Islam tidak perlu bimbang.
“Lagipun hudud hanya dilaksanakan jika rakyat dalam keadaan stabil,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment