Monday 16 April 2012

12 kereta dipecahkan cermin bahagian depan

 

Posted on April 16, 2012, Monday
 
ANGKARA SIAPA?: Chong bersama penyokong DAP lain memeriksa keadaan salah sebuah kereta yang dipecahkan cermin bahagian hadapannya di salah sebuah restoran di Kampung Sungai Pinang, malam kelmarin.

BAU: Sebanyak 12 kereta yang diletakkan di tepi jalan dipecahkan cermin bahagian depan, manakala dua daripadanya rosak teruk di Kampung Sungai Pinang, malam kelmarin.
Dalam insiden sekitar jam 8.30 malam itu, kesemua pemilik kenderaan sedang menghadiri majlis makan malam Parti Tindakan Demokratik (DAP) Mas Gading yang julung kali diadakan di sebuah restoran berdekatan.
Menurut salah seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang bertugas pada malam tersebut, insiden itu hanya disedari selepas menyaksikan tiga lelaki bermotosikal melarikan diri dari tempat kejadian.
Kejadian itu lambat disedari memandangkan keadaan jalan raya yang gelap, katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching semalam.
Chong yang juga setiausaha DAP Negeri melahirkan kekesalan berhubung insiden itu yang disifatkannya mempunyai unsur sabotaj.
Bagaimanapun, katanya penyokong parti yang mengusahakan bengkel kereta bersetuju untuk membantu pemilik-pemilik kenderaan untuk membaiki cermin hadapan dengan mengenakan potongan harga.
Parti juga akan menanggung separuh daripada kos tersebut.
Kes itu kini berada dalam siasatan polis.

No comments:

Post a Comment