Wednesday 4 April 2012

BN mempunyai strategi dan senjata tersendiri: Rosey

Posted on April 4, 2012, Wednesday
MIRI: Barisan Nasional (BN) dijangka tidak akan memberi laluan mudah kepada pembangkang yang berhasrat untuk menawan Sarawak meskipun menang beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bekenu Rosey Yunus berkata, kerajaan BN mempunyai strategi dan senjata tersendiri meskipun parti lawan mengetengahkan calon tempatan.
“Ini bukan soal calon sebaliknya ia berkaitan dengan kepercayaan dan sokongan rakyat kepada kerajaan yang mampu membawa perubahan dan membela nasib mereka,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Menurutnya, meskipun pembangkang mulai mencongak peluang dan menyasarkan beberapa kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak, namun ia tidak semudah yang dijangka.
“Kita percaya semua penyandang kerusi Parlimen di kontituensi masing-masing tidak akan membenarkan parti luar datang dan membantutkan semua pembangunan yang dirancang kerajaan untuk rakyat,” jelasnya.
Rosey yang juga Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga menyifatkan hanya kerajaan BN sahaja yang mampu membawa perubahan kepada rakyat.
“Mereka (pembangkang) tidak mampu membawa perubahan positif kepada rakyat sebaliknya mereka hanya merosakkan perubahan yang sudah dan akan dilaksanakan kerajaan BN untuk rakyat,” jelasnya.
Mengulas mengenai sebuah parti pembangkang yang mengetengahkan calon tempatan untuk bertanding di Parlimen Sibuti, beliau memberitahu ja hanya satu taktik untuk mengaburi mata rakyat.
“Pembangkang licik dan mempunyai pelbagai cara untuk mengaburi mata rakyat termasuk mempergunakan orang tempatan untuk mewakili mereka bagi mencapai agenda tertentu,” tegasnya.
Rosey menjelaskan meskipun PAS meletakkan seorang calon berbangsa Iban untuk bertanding di Parlimen Sibuti kelak, ia tidak akan menjejaskan reputasi cemerlang calon BN di kontituensi itu.
“Selama ini, rakyat di Parlimen Sibuti memberi kepercayaan kepada BN untuk mentadbir urus mereka dan tidak mungkin mereka menggadai masa depan hanya untuk menyokong parti luar,” jelasnya.
Tambahnya, sesiapa pun calon yang diketengahkan parti pembangkang tidak akan menggegarkan kubu kuat BN sebaliknya ia hanya dilihat sebagai satu usaha yang sia-sia.

No comments:

Post a Comment