Monday 2 April 2012

Perpaduan penyumbang kepada kemajuan: Talib

by Abang Ismail Abang Su’ud. Posted on April 2, 2012, Monday















TANDA PENYERTAAN: Talib (tiga kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada seorang murid yang menyertai program RIMUP sambil disaksikan oleh (dari kiri) Delin, Dirwana, Tan dan Aminah semalam.

Selain kekayaan sumber, pentadbiran yang baik mampu menjana perpaduan penduduk
BINTULU: Kemajuan sesebuah tempat itu bukan semata-mata atas dasar kekayaan sumbernya sebaliknya membabitkan kaedah pentadbiran baik yang mampu menjana perpaduan antara penduduknya.
Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata, perpaduan yang ada di sesebuah penempatan tidak hanya akan mewujudkan keamanan bahkan akan menghadirkan pembangunan.
Beliau merujuk keadaan Bintulu sendiri yang maju bukan semata-mata kerana memiliki sumber minyak dan gas serta hasil kayu-kayan tetapi kerana pentadbiran baik yang menjana perpaduan.
“Kalau penduduknya mempunyai sifat perkauman, Bintulu tidak akan maju seperti sekarang,” ujarnya berucap merasmikan penangguhan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Pejabat Pelajaran Daerah Bintulu di SK Assyakirin semalam.
Katanya, penduduk Bintulu tidak ramai namun disebabkan sifat terbuka mereka, orang luar diterima bekerja dan berniaga di sini sehingga menjadikan bahagian ini terus maju.
“Sifat terbuka penduduk itulah yang menyebabkan kemajuan pesat terus berlaku di bahagian ini,” tambahnya.
Justeru Talib menyeru agar murid-murid berbilang bangsa di sini tidak memilih bangsa, agama atau keturunan sekiranya ingin berkawan.
“Saya melihat program ini merupakan satu usaha untuk memupuk persefahaman dan mengukuh hubungan silaturahim antara murid-murid pelbagai kaum supaya apabila dewasa, mereka mampu menjadi warganegara yang boleh berkawan tanpa memilih bangsa.
“Kita tidak mahu murid-murid hari ini berkawan hanya dalam kelompok kaum mereka sendiri,” katanya.
Sementara itu Pengarah JPNIN Negeri Sarawak Dirwana Azool berkata, program itu bertujuan memupuk interaksi yang baik antara murid-murid pelbagai kaum, agama, keturunan dan adat resam di negeri ini.
Katanya, ia merupakan usaha jabatan untuk mewujudkan sikap bersatu padu antara murid dalam aspek kemasyarakatan dan mendedah serta memberi kefahaman kepada mereka mengenai kehidupan bersama di kawasan kejiranan.
“Satu perkara baharu yang dialami murid terbabit adalah menerima rakan baharu daripada kaum lain sekali gus menerapkan semangat kerjasama dan perpaduan antara mereka,” jelasnya.
Terdahulu, enam sekolah menyertai program itu terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Selad, SK Kuala Nyalau, SK Kampung Jepak, SJK Chung Hua 1, SJK Chung Hua 2 dan SK Assyakirin.
Timbalan Pengarah JPNIN Negeri Sarawak Delin Liet Blaun, Pegawai Pelajaran Daerah Bintulu Tan Kiang Tuang dan Penolong Kanan SK Assyakirin Aminah Sisi turut hadir dalam program itu.

No comments:

Post a Comment