MIRI: Penduduk kawasan luar bandar terus dinasihati supaya tidak terpengaruh dengan taktik pembangkang yang ketika ini sudah mula berkempen untuk meraih undi.
Menteri Muda Pembangunan Keluarga dan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Rosey Yunus berkata, pembangkang sudah memulakan langkah memasuki kampung-kampung untuk meraih sokongan.
“Taktik masuk ke kampung-kampung dan kononnya mereka prihatin terhadap kebajikan rakyat sudah lapuk kerana ia hanya taktik untuk meraih sokongan semasa pilihan raya sahaja,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menyifatkan penduduk kampung terutamanya rumah-rumah panjang sudah jemu dengan taktik sedemikian.
“Mereka hanya menolong ketika musim pilihan raya sebaliknya selepas itu, mereka hilang entah ke mana seperti coklat sekejap ada sekejap tiada,” jelasnya.
Beliau seterusnya menasihatkan supaya penduduk setempat menolak setiap ideologi pembangkang yang ketika ini hanya tahu mengkritik dan menghentam kerajaan.
“Semua pengundi yang bakal membuang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak diingatkan tidak menggadai masa depan dengan memilih pihak yang salah,” jelasnya.
Tambahnya, sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) masih kuat dan usaha pembangkang memberi ‘gula-gula’ seperti ubat-ubatan atau beras hanya strategi lapuk untuk meraih undi rakyat,
“Jangan terperdaya dengan ‘keprihatinan’ pembangkang yang menghulurkan beras atau ubat-ubatan pada masa pilihan raya kerana ia hanya satu taktik lama untuk meraih undi rakyat,” katanya.
Berbanding kerajaan BN katanya, rakyat tidak kira di bandar atau luar bandar telah menerima kesan lonjakan pembangunan bahkan taraf hidup rakyat sekarang berada dalam keadaan selesa.
No comments:
Post a Comment