Monday, 2 April 2012

Pemuda PBB sedia gerak strategi ‘rahsia’

by Rusnan Mustafa. Posted on April 1, 2012, Sunday

Panduan sudah diberikan di setiap cawangan dan ranting di seluruh negeri: Fadillah
KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bakal menggerakkan strategi ‘rahsia’ untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Walau bagaimanapun, Ketua Pemudanya Datuk Fadillah Yusof enggan menjelaskan strategi tersebut.
Namun, katanya, pihaknya sudah memberi panduan di setiap cawangan dan ranting PBB di seluruh negeri untuk bersedia sepenuhnya bagi menjalankan strategi tersebut nanti.
“Kita telah mengadakan mesyuarat sebelum ini dan apa yang kita akan lakukan tentulah satu strategi yang saya tidak boleh dedahkan pada kamu (media) tetapi kita telah memberi panduan di peringkat negeri untuk semua cawangan dan ranting-ranting bersiap sedia (untuk menjalankan strategi rahsia itu),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan Pemuda PBB dalam menghadapi PRU13 nanti semasa ditemui selepas majlis perasmian Karnival Singgah Lok di SK Combined di sini, semalam.
Selain itu, Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Pemuda PBB turut melancarkan satu program khas yang dikenali ‘Armada Pemuda’ berkonsepkan misi kemanusiaan pada Mei ini.
Beliau memberitahu program berkenaan akan dijalankan di 10 lokasi yang telah dikenal pasti bermula dari Kuching hingga ke Limbang dalam usaha menggiatkan penglibatan pemimpin muda untuk turun padang.
“Ini adalah pendekatan yang digunakan kita untuk membolehkan semua exco pemuda memahami denyut nadi rakyat, permasalahan dan apa yang perlu kita lakukan secara sukarela.
“Kita memberi sumbang bakti kepada rakyat dengan merapatkan diri dengan mereka,” katanya sambil menambah, program itu juga dapat mewujudkan kerjasama yang utuh di kalangan exco Pemuda PBB negeri.
Jelasnya lagi, pendekatan yang digunakan itu juga akan membolehkan Pemuda PBB lebih memahami kehendak rakyat secara mendalam yang mana antara aktiviti yang bakal dianjurkan merangkumi khidmat masyarakat, rekreasi, sumbangan dan pendidikan.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Fadillah menyeru ibu bapa memberi kerjasama dengan pihak sekolah dalam bersama-sama membantu membangunkan pendidikan anak mereka.
“Tanpa kerjasama daripada ibu bapa, usaha untuk mendidik anak-anak akan menjadi rumit, justeru saya berharap ibu bapa memberi komitmen sepenuhnya dalam bersama-sama dengan warga pendidik untuk memajukan pendidikan anak-anak mereka di sekolah ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment