Kepercayaan golongan muda terhadap dasar kerajaan bukti BN mampu menang besar PRU13
KUCHING: Kepercayaan golongan muda terhadap dasar yang diperkenalkan kerajaan sekarang menunjukkan Barisan Nasional (BN) mempunyai kemampuan untuk menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, golongan terbabit beranggapan dasar yang diperkenalkan seperti gagasan 1Malaysia amat praktikal.
Menurutnya, bagi mereka pemimpin sedia ada benar-benar membantu rakyat dan merancang masa depan terbaik untuk negara.
“Saya bertemu dengan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai malam kelmarin, mereka memberitahu abhawa pentadbiran di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) begitu praktikal.
“Ini menunjukkan terdapat angin perubahan pemikiran mereka terhadap propaganda tidak betul yang dilemparkan pihak pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemukiman Jentera Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 P.194 Petra Jaya Peringkat Cawangan N8 Satok di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Sehubungan itu, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan menjelaskan, di bawah BN sekarang, generasi muda mempunyai harapan terutama dengan pengenalan beberapa projek mega yang bakal memberi banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan tinggi untuk mereka.
“Saya memang nampak harapan dengan perancangan pelbagai pembangunan,” ujarnya.
Menurutnya, dasar yang diperkenalkan kerajaan BN adalah untuk membantu rakyat dan memberikan masa depan terbaik kepada masyarakat pada masa akan datang.
“Kita tidak banyak omong kosong tetapi melakukan kerja,” jelasnya.
Beliau memberitahu, rakyat sekarang sudah mula mengetahui golongan yang memberi kebaikan dan keburukan kepada mereka.
“Orang sudah mula sedar mana intan dan mana kaca. Kita (BN) bawa intan dan pihak sebelah sana bawa kaca yang mudah pecah,” katanya.
Abang Johari menambah, kemajuan negeri ini pada masa depan banyak bergantung kepada kemampuan kerajaan membimbing pemimpin muda hari ini.
“Kalau hendak melihat masa depan negara, lihatlah generasi muda sekarang.
“Jika orang muda selalu melakukan protes maka begitulah masa depan,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof dan Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg.
No comments:
Post a Comment