Sunday 18 March 2012

SPDP teguh hadapi cabaran

by Abang Ismail Abang Su’ud. Posted on March 18, 2012, Sunday

Mawan kutuk sekeras-kerasnya tindakan kumpulan yang cuba melemahkan parti

BINTULU: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menghadapi pelbagai cabaran besar sejak penubuhannya sembilan tahun lalu dengan tindakan beberapa kumpulan yang cuba melemahkan parti dan kepimpinannya.
Namun, dengan berpegang teguh kepada undang-undang dan perlembagaan parti, SPDP melaungkan pendiriannya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kumpulan terbabit.
Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, golongan tersebut mempunyai agenda peribadi sehingga sanggup mengetepikan kepentingan parti dan perjuangan ahli-ahli dalam SPDP.
“Melanggar undang-undang parti adalah satu usaha untuk merampas kuasa yang juga satu taktik ibarat menikam dari belakang.
“Kumpulan ini cuba mempengaruhi ramai ahli-ahli kita (SPDP) dan ahli Barisan Nasional (BN) dengan tindakan mereka mengeluarkan bermacam-macam propaganda untuk mengelirukan orang ramai,” ujarnya pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Ke-9 SPDP bertemakan ‘Bersatu Menuju Ke Hadapan’ di Dewan Suarah di sini, semalam.
Mawan berkata, kumpulan terbabit sengaja mengeluarkan pelbagai kenyataan untuk memperkecil-kecilkan SPDP dan kepimpinannya.
“Justeru, saya dan rakan-rakan dalam SPDP mengutuk sekeras-kerasnya kumpulan ini meskipun di luar kami dikecam, namun kami berpegang teguh kepada undang-undang berdasarkan perlembagaan parti,” tegasnya.
Beliau berkata: “Kita mempunyai prinsip yang unik bersopan santun, toleransi dan ke-tabahan hati tetapi semua nilai ini diketepikan mereka dengan tindakan mereka yang melampaui batas.”
“Dengan mengikut perlembagaan serta badan disiplin, kita memecat mereka dari parti,” tambahnya.
Katanya, kumpulan tersebut merupakan cerita dan politik lama yang tidak relevan lagi, namun SPDP perlu mengambil iktibar bahawa sesiapa yang bertindak di luar perlembagaan demi kepentingan peribadi akan jatuh terbiar.
Disebabkan itu, beliau menyeru semua ahli SPDP dan kepimpinannya agar sama-sama memfokus satu tekad dan matlamat serta seiring jalan untuk memastikan parti terus mencapai kejayaaan cemerlang, sekali gus berusaha untuk menarik minat lebih ramai ahli baharu dalam parti.
Ujarnya, untuk tahun 2012 hingga 2014, SPDP menyasarkan untuk merekrut ahli baharu seramai 30,000 orang.
Jelasnya, ini merupakan peringkat awal transformasi SPDP dengan menganjurkan program-program bagi memperkukuhkan parti yang kini keahliannya telah mencecah 100,000 orang di seluruh ne-gara.
“Saya yakin matlamat ini akan tercapai khususnya untuk menarik keahlian golongan muda dan profesional ke dalam parti yang akan dapat mendampingi masyarakat dan memperkuat-kan parti, lebih-lebih lagi golongan ini mempunyai kuasa penentu pada pilihan raya,” katanya.
Menurutnya, golongan profesional muda bawah 40 tahun adalah lebih ramai dan pengambilan mereka menjadi ahli akan memperkukuhkan parti.
“Saya turut merayu semua pemimpin dan ahli parti menjayakan program yang dapat menarik perhatian golongan muda melalui usaha transformasi dan menggesa sayap Pu-tera dan Puteri SPDP memainkan peranan lebih meluas supaya mereka lebih diminati oleh golongan muda,” katanya.
Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Mawan berkata: “Kita kini di peringkat awal demam pilihan raya meskipun kita tidak tahu bila, tetapi terdapat tanda-tanda ia akan diadakan dan saya menyeru semua pemimpin di setiap peringkat untuk bersedia dengan memainkan peranan yang lebih berkesan.”
Turut hadir Timbalan Presiden SPDP, Datuk Peter Nyarok Entrie dan ahli-ahli Majlis Tertinggi parti.

No comments:

Post a Comment