Monday 26 March 2012

Nansian percaya Najib sokong kumpulannya

Posted on March 26, 2012, Monday
BAU: Datuk Peter Nansian Ngusie percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetepikan bekas partinya – Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan menyokong kumpulannya dalam isu pencalonan.
“Terpulang kepada BN untuk memilih calon yang bertanding di kerusi Parlimen Mas Gading walaupun berdasarkan tradisi ia adalah kerusi SPDP,” kata ADUN Tasik Biru tanpa parti itu.
Beliau juga seakan-akan mencabar bekas partinya untuk menamakan calon pilihan mereka secepat mungkin.
Katanya, sejak pemecatan Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe daripada SPDP, parti tersebut hanya membuat pengumuman bahawa ia akan memilih seorang daripada lima muka baharu untuk mempertahankan kerusi Mas Gading.
Oleh yang demikian, beliau berkata SPDP masih keliru tentang pencalonan, tidak seperti kumpulannya yang sangat pasti akan memilih Dr Tiki untuk mempertahankan kerusi bagi BN.
“Mereka (SPDP) sangat keliru sekarang tetapi bagi kami, tiada kekeliruan kerana kami hanya ada seorang calon iaitu Dr Tiki sendiri.
“BN tidak boleh kehilangan kerusi ini dan mesti menampilkan calon boleh menang.
“Dr Tiki mempunyai sokongan daripada akar umbi dan akan terus berjuang untuk mendapatkan kerusi itu,” kata Nansian.
Beliau ditemui selepas merasmikan Tanah Perkuburan Kristian di Taman Peringatan Nirvana di sini, semalam.
Tambahnya, sesiapa sahaja boleh dicalonkan untuk kerusi itu tetapi terpulang kepada BN untuk memberi kata putus mengenai calon yang harus bertanding.
Ditanya tentang kesediaan Dr Tiki untuk berdamai dengan parti selagi SPDP dapat memenuhi syaratnya, Nansian berkata, Dr Tiki hanya bergurau tentang perkara itu.
Beliau mendakwa Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom tidak pernah mengotakan janji dan sebarang harapan untuk berdamai adalah sia-sia.
“Ia bukan mengenai pendirian kami yang tegas tentang perdamaian tetapi Mawan sebenarnya yang tidak mengotakan janji,” katanya.
Semasa perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan SPDP di Bintulu pada 18 Mac lepas, Pengerusi BN Negeri yang juga Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menjernihkan suasana berhubung isu pencalonan Mas Gading dengan menyatakan SPDP berhak untuk memilih calon dan Najib akan meluluskannya.

No comments:

Post a Comment