Sunday 11 March 2012

Pilih kerajaan yang mampu urus tadbir negara - PM

11/03/2012 5:23pm

PEKAN 11 Mac — Rakyat perlu memilih sebuah kerajaan yang dilihat mampu untuk mengurus tadbir negara dengan cekap demi kelangsungan kesejahteraan dan kemakmuran kata, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, memilih sebuah kerajaan yang mampu mengurus tadbir negara adalah penting kerana rakyat pada akhirnya juga yang akan menerima manfaatnya.

"(Memilih kerajaan) Bukan setakat pandai bersyarah sahaja atau gantung ”bulan” paling tinggi, tetapi kelebihan urus tadbir negara dan agensi, baru boleh jana kekayaan, bila dah berjaya, wajib bantu rakyat dan orang ramai,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Vitamin 1Malaysia dan penyampaian sumbangan sempena Tahun Baru Cina 2012 di Dataran Pekan, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengarah Program Yayasan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Datuk Dr. Shamsul Anuar Sulaiman.

Najib berkata, ungkapan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan perlu diterjemahkan dalam bentuk realiti supaya boleh dirasai dan dimanfaatkan oleh rakyat.

"Kerajaan melalui Pelan Transformasi Ekonomi dan kerajaan serta pentadbiran yang berasaskan kepada KPI (indeks prestasi utama) maka kita berjaya merangsang dan memacu ekonomi yang baik iaitu pada kadar pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu perlu dilihat sebagai satu pencapaian yang amat baik ketika negara dan dunia berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.— BERNAMA 

No comments:

Post a Comment