Wednesday, 21 March 2012

Najib yakin menang di negeri Pakatan

March 21, 2012

Momentum sokongan rakyat kian menebal kepada BN setelah Perdana Menteri melaksanakan pelan transformasi negara.

Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai asas kukuh untuk berkata dengan yakin bahawa Barisan Nasional (BN) mampu menguasai semula negeri-negeri yang kini diperintah Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang (PRU-13), demikian menurut penganalisis politik.

Mereka melihat momentum sokongan rakyat yang kian menebal kepada BN setelah Perdana Menteri melaksanakan pelan transformasi negara bukan sahaja dibuat dengan bersungguh-sungguh tetapi juga jelas telah memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Faktor itu, kata mereka, berperanan sangat penting untuk mengubah gelombang sokongan rakyat kepada kerajaan BN, apatah lagi rakyat kini berasa mempunyai hubungan yang ‘dekat’ dengan Perdana Menteri dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang saban minggu turun ke padang untuk meninjau dan menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.

“Saya melihat sokongan rakyat kepada BN semakin pulih kerana dasar yang dilaksanakan kerajaan adalah menyeluruh dan adil kepada semua termasuk kaum-kaum minoriti,” kata Prof Dr Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan itu berkata amalan bersemuka dengan rakyat telah membuahkan hasil di mana setiap kali pemimpin BN turun padang ada sahaja peruntukan yang diumumkan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Prof Ahmad Atory berkata kenyataan Najib pada Ahad lepas mengenai keyakinan BN untuk kembali memerintah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor pada PRU ke-13, adalah satu kenyataan yang berasas.

Ini kerana, katanya, Perdana Menteri tidak akan bercakap kosong sebaliknya ia bersandarkan kepada maklumat yang diterimanya daripada pelbagai pihak selain angin perubahan yang boleh dirasainya sendiri semasa program turun padang dan beramah mesra dengan rakyat.

Menurut beliau, Perdana Menteri berani berkata demikian kerana dasar transformasi yang dilakukan kerajaan semakin diterima rakyat dan ini termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia yang menarik minat rakyat.

Bantuan langsung lain termasuklah RM100 untuk setiap murid sekolah, RM200 baucer buku bagi pelajar institusi pengajian tinggi hingga ke bantuan pukat dan bot serta rumah untuk nelayan.

“Saya pun yakin BN mampu menguasai negeri-negeri ini,” kata Prof Ahmad Atory.

Generasi muda
Keyakinan serupa turut dilahirkan Mohamed Hafez Hamid, 29, seorang anggota akar umbi Umno di Shah Alam, berdasarkan kepada apa yang dilihatnya sebagai perubahan positif generasi muda yang tidak lagi segan menghadiri majlis-majlis BN.

Melalui pemerhatiannya, BN turun padang dengan keikhlasan untuk menyelami sendiri kehendak dan hasrat rakyat, menyelesaikan masalah setempat dan berkongsi idea serta perancangan pembangunan untuk masa depan negara dan generasi akan datang yang lebih cemerlang.

“Bagi orang muda seperti saya, cerita mengenai masa depan negara kita yang lebih baik, itulah yang ingin saya dengar dan hayati. Programnya mesti konkrit. Retorik dan fitnah atau tuduhan melulu dah tak main dah,” katanya.

Beliau setuju dengan pandangan Prof Ahmad Atory bahawa pemberian terus bantuan kepada rakyat terbukti satu bentuk usaha memenuhi hasrat rakyat, yang disambut baik hatta oleh penyokong pembangkang sekalipun.

Prof Ahmad Atory berkata pemberian langsung ini dapat dilakukan kerana
kerajaan BN memang berkemampuan hasil kebijaksanaan menguruskan wang negara.

“Keikhlasan Perdana Menteri dan kerajaan BN pula terbukti apabila belum pun berkuasa di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, BN sudah pun beri bantuan. Kalau dah berkuasa nanti, bermacam-macam lagi bantuan yang BN boleh berikan. Ini adalah ciri kerajaan yang adil dan prihatin.

“Sedangkan kalau Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim datang, apa yang rakyat boleh dapat? Hanya mendengar maki hamun?” katanya.

Prof Ahmad Atory juga optimis BN mampu memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat berdasarkan sokongan yang semakin memuncak kepada BN.

Prof Dr Jayum Jawan, Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, pula berkata kenyataan Najib mengenai keyakinan menang di negeri-negeri Pakatan itu adalah langkah awal serangan yang sudah cukup untuk melemahkan pembangkang kerana selama ini pembangkanglah yang sering menyerang BN bertubi-tubi.

Katanya Najib sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN mahu melihat semua pemimpin dan anggota parti juga bertindak berani menampilkan keyakinan yang seterusnya boleh meningkatkan pula keyakinan pengundi kepada BN serta tidak lagi membiarkan Pakatan terus menerus menyerang BN.

Apakah kesannya keyakinan Najib itu terhadap parti lawan?

“Saya melihat Pakatan mula gelabah dan mula melancarkan perang psikologi dengan memasang bendera parti seolah-olah esok dah nak pilihan raya. Sebenarnya rakyat semakin menjauhi Pakatan,” kata Prof Ahmad Atory.- Bernama

No comments:

Post a Comment