Tuesday, 20 March 2012

Jangan gadai masa depan sokong pembangkang: PM

Posted on March 18, 2012, Sunday

Hanya kerajaan BN mampu jamin kesejahteraan negara





















SUMBANGAN: Najib menyerahkan mesin pemotong rumput kepada Mansor Yok Perangin pada Majlis Jalinan Mesra Masyarakat Orang Asli di Padang TNB, Kuala Woh sempena lawatan kerja sehari ke Negeri Perak, semalam. — Gambar Bernama

BERUAS: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak menggadai masa depan mereka dengan terpengaruh kepada pelbagai dakwaan, tohmahan dan janji pembangkang kerana telah terbukti selama ini kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat memastikan kesejahteraan negara dan rakyat terpelihara.
Perdana Menteri berkata, BN sudah melakukan pelbagai perkara untuk kesejahteraan rakyat termasuk menyalurkan pelbagai bantuan kerana BN mampu mengurus tadbir negara dengan cekap dan berkesan.
“Tidak boleh pakai cerita pembangkang ini sebab mereka tidak mempunyai kemampuan untuk urus tadbir negara kita dengan baik. Sehari dua ini pun sudah nampak bercelaru. Jadi tak usah dengar kalau mereka (pembangkang) datang.
Dengar, tapi masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,” katanya ketika berucap pada program ‘Sepagi Bersama Perdana Menteri’ di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Changkat Beruas di sini, semalam.
Najib yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini berkata, kerajaan juga telah dapat mengurangkan jumlah hutang dan menambah hasil negara, meskipun pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat.
“Ini disebabkan kita dapat mengurus tadbir negara kita dengan baik, menguruskan perjalanan ekonomi negara dengan cekap. Menentukan ekonomi negara dapat terus berkembang, hasil negara bertambah, apabila kita capai kejayaan sedemikian kita pulangkan hasil kekayaan itu balik kepada rakyat,” katanya.
Menyentuh mengenai pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan BN kepada rakyat, Najib berkata kerajaan hanya memulangkan kepada rakyat hasil negara.
“Adakah itu menjadi kita sebagai kerajaan tidak bertanggungjawab? Tentunya jika kita kembalikan hasil negara kepada rakyat, ianya bermakna kerajaan mendahulukan rakyat. Seperti mana yang saya janjikan selama ini (dimana) selama tiga tahun gagasan tersebut (1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan) kita praktikkan,” katanya.
Najib berkata oleh itu, jika pembangkang menuduh kerajaan BN tidak bertanggungjawab, tuduhan itu tidak benar.
Sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab adalah kerajaan yang menghabiskan wang negara, dan pada masa menambah hutang negara semata-mata untuk meraih sokongan rakyat, katanya.
“Sudah nak dekat pilihan raya, kita baru nak beri bantuan semata-mata nak dapatkan undi tanpa uruskan ekonomi negara dengan baik. Itu namanya kerajaan tidak bertanggungjawab dan tidak fikir masa depan negara,” katanya. — Bernama
Beliau berkata, kerajaan seperti itu juga merupakan sebuah kerajaan yang hanya mahu meraih sokongan dan mahu menjadi popular dengan apa cara sekalipun yang mana ia berbeza dengan pendekatan kerajaan di bawah BN.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan masing-masing sebanyak RM2 juta kepada Masjid Changkat Cermin, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tit Bin di Pantai Remis dan sebuah dewan untuk masyarakat India di kawasan Parlimen Beruas.
Najib turut menyampaikan sumbangan khas berupa kerusi roda dan keperluan makanan kepada 12 penerima orang kurang upaya serta berpendapatan rendah. — Bernama

No comments:

Post a Comment