Thursday 15 March 2012

BN letak calon wanita di Parlimen Samarahan?

Posted on March 15, 2012, Thursday

Anak jati Kota Samarahan amat popular, berkhidmat sebagai pegawai k’jaan di Pejabat Daerah Asajaya

Oleh Wan Ali Amit

KOTA SAMARAHAN: Barisan Nasional (BN) dijangka meletakkan calon wanita bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kota Samarahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Menurut sumber, calon wanita terbabit merupakan anak jati Kota Samarahan dan kini bertugas sebagai pegawai kerajaan di Pejabat Daerah Asajaya, di sini.
Sumber itu memberitahu,calon wanita itu masih muda dalam lingkungan usia 40-an dan begitu popular di Asajaya lebih-lebih lagi di tempat kelahirannya, Kota Samarahan.
“Kita menjangkakan kemungkinan besar BN bakal meletakkan calon wanita bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kota Samarahan pada PRU13 nanti,” kata sumber itu kepada Utusan Borneo di sini semalam.
Selain sebagai pegawai kerajaan, calon wanita terbabit juga amat aktif dalam pelbagai pertubuhan wanita terutamanya Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Samarahan.
Kerusi Parlimen Kota Samarahan kini disandang oleh bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mempertahan kerusi BN terbabit pada PRU12 2008.
Sulaiman mengambil keputusan mengundur diri daripada kabinet persekutuan, justeru tidak mempertahankan kerusi Parlimen Kota Samarahan pada PRU13 akan datang.
Sehubungan itu, pada majlis gotong-royong bersama pemimpin di Kampung Pangkalan Kuap, di sini Ahad lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Sri Mohammad Ali Mahmud juga menyatakan beberapa calon BN telah dikenal pasti termasuk wanita untuk dipertimbangkan bertanding di kerusi Parlimen Kota Samarahan.
Justeru, katanya, terserahlah kepada pucuk pimpinan tertinggi BN Pusat dan Negeri memilih calon yang sesuai bagi mempertahan kerusi Parlimen Kota Samarahan pada PRU13.
Pada majlis itu, Mohammad Ali mengingatkan penduduk agar tidak mudah terpedaya dengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memperkenalkan ‘calon-calon’ mereka.
“Kita tahu ada mereka pergi ke kampung-kampung di sini untuk memperkenalkan calon-calon mereka, kononnya mereka telah dipersetujui oleh pemimpin BN,” katanya.
Justeru, beliau menggesa penduduk-penduduk kampung terbabit agar terus memberi sokongan padu kepada BN pada PRU13 akan datang boleh membolehkan BN menang besar.
Pada majlis itu, Mohammad Ali menyampaikan sumbangan sejumlah RM15,000 untuk membina Bilik Gerakan PBB Kampung Pangkalan Kuap dan RM5,000 bagi tujuan gotong-royong mengecat masjid kampung terbabit.

No comments:

Post a Comment