Program berkonsep misi kemanusiaan giatkan pemimpin muda PBB turun padang
KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengadakan satu program khas yang dikenali ‘Armada Pemuda’ berkonsepkan misi kemanusiaan bermula selewat-lewatnya Mei tahun ini.
Ketuanya, Datuk Fadillah Yusof berkata, program berkenaan akan dijalankan di 10 zon bermula dari Kuching hingga ke Lawas dalam usaha menggiatkan penglibatan pemimpin muda untuk turun padang.
“Ini adalah pendekatan yang digunakan kita untuk membolehkan semua exco Pemuda memahami denyut nadi rakyat, permasalahan dan apa yang perlu kita lakukan.
“Kita memberi sumbang bakti kepada rakyat dengan merapatkan diri dengan mereka,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pemuda PBB Peringkat Negeri di sini, semalam.
Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pendekatan yang digunakan itu juga akan membolehkan Pemuda PBB lebih memahami kehendak rakyat secara mendalam.
Menurutnya, pengisian program merangkumi khidmat masyarakat, rekreasi, sumbangan dan pendidikan.
“Pada masa sama, kita berharap untuk membawa agensi kerajaan untuk bersama-sama di pangkalan yang dikenal pasti bagi pelaksanaan program.
“Ini penting agar agensi terbabit dapat memberi maklumat kepada rakyat terutama di luar bandar tentang bantuan yang disediakan kerajaan,” ujarnya.
Mengulas mengenai isu membabitkan kilang pemproses nadir bumi Lynas Corporation di Gobeng, Pahang, Fadillah menjelaskan, kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengendalikan pendengaran awam untuk menyelesaikan isu terbabit.
Menurutnya, laporan daripada pendengaran awam akan dibentangkan kepada Parlimen untuk tindakan selanjutnya.
“Kerajaan prihatin tentang keselamatan rakyat. Sebelum memulakan operasi, kilang ini sudah diperiksa pakar antarabangsa.
“Ia mengikut standard antarabangsa, cuma ada pihak yang cuba memutar belit fakta,” jelasnya.
Beliau berkata, golongan anti-Lynas sepatutnya mengetahui fakta sebelum membuat sebarang dakwaan yang sengaja memburuk-burukkan kerajaan.
“Kalau mahu butiran lanjut, buat perjumpaan dengan pakar kerajaan bersama pakar mereka,” kata Fadillah.
Isu berkenaan mula menjadi perbualan hangat, apabila syarikat Australia didakwa gagal memberikan butiran lengkap berhubung pengurusan sisa buangan yang mereka akan hasilkan daripada kilang pemprosesan nadir bumi.
No comments:
Post a Comment