Posted on March 13, 2012, Tuesday
KUCHING: Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia (PBAKM) berikrar untuk terus menjadi tulang belakang dalam bersama-sama kerajaan Barisan Nasional (BN) memperkukuhkan pembangunan fizikal dan ekonomi negara.
Menurut Presidennya Datuk Melati Ali, peranan yang dimainkan oleh KEMAS bukan sahaja memberi pendidikan kepada rakyat di negeri ini tetapi juga sebagai nadi penggerak memperluaskan jaringan BN di setiap negeri.
“Kami bekerja dengan dua tujuan, yang pertama mencari rezeki dan yang kedua kami bersama-sama hendak memperkukuhkan kekuatan BN di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan khas RM3,000 kepada 220 bekas anggota KEMAS Sarawak di Pustaka Negeri di sini semalam.
Kesemua penerima merupakan bekas anggota KEMAS yang sudah tamat perkhidmatan pada usia 55 tahun dan tidak mempunyai pencen kerana berkhidmat secara kontrak.
“KEMAS diwujudkan pada 1961 yang memberi pendidi-kan untuk golongan dewasa dan kanak-kanak, banyak pengorbanan yang telah kami lakukan untuk BN, jadi saya amat berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan lagi permintaan kami untuk memberi bantuan (pencen) kepada bekas-bekas anggota KEMAS ini,” tambahnya.
Melati menegaskan, walaupun anggota KEMAS sudah bersara tetapi mereka tetap meneruskan agenda kerajaan BN.
“Kami tidak terhenti di sini sahaja kerana tugas kami tetap diteruskan dalam membantu BN agar terus kukuh di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, bekas anggota KEMAS yang sudah berkhidmat selama 34 tahun, Hossen Dolah, 68, berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian pencen setiap bulan kepada mereka.
“Bantuan yang diberikan hari ini amat bermakna bagi kami semua dan saya amat bersyukur diberikan rezeki sebegini tetapi kami mengharapkan agar ada bantuan lain yang akan diberikan oleh kerajaan BN kepada kami,” katanya.
Bantuan itu semalam disampaikan oleh Menteri Perumahan merangkap Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Hadir sama ADUN Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Presiden PBAKM Datuk Melati Ali, Pengerusi PBAKM Sarawak Hidir Nusi dan tetamu kehormat lain.
No comments:
Post a Comment