Tuesday, 6 March 2012

Dicalon atau tidak perkara subjektif, kata Dr Tiki

Posted on March 5, 2012, Monday

LUNDU: Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe mungkin antara calon Barisan Nasional (BN) yang akan digugurkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Namun, bagi bekas Naib Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu, andaian tersebut adalah satu perkara yang subjektif dan sukar untuk diketahui ketepatannya.
“Pucuk pimpinan tertinggi akan membuat keputusan berdasarkan kepada maklum balas daripada pelbagai sumber dan tidak hanya daripada kami sendiri.
“Jika tanya saya, sudah tentu saya akan katakan saya ada sokongan yang kuat, tapi jika ditanya pada orang lain, mereka mungkin akan mengatakan yang sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Stungkor Motocross King dan Stungkor Scrambler Masters 2012 di Litar Stungkor Motocross Park di sini, semalam.
Selepas melalui pelbagai kontroversi antara beliau dan bekas pemimpin SPDP, Dr Tiki bagaimanapun mengakui masih lagi wakil rakyat BN yang diiktiraf.
Katanya, beliau masih aktif mendekati rakyat di kawasannya dan menjalankan peranan dengan baik bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Ranum Mina (Opar) dan Datuk Peter Nansian (Tasik Biru).
Dalam pada itu, di sebalik laporan negatif yang dilemparkan ke atasnya dan empat lagi wakil rakyat yang dipecat SPDP baru-baru, beliau berkata ia adalah satu publisiti kepada mereka.
Katanya, secara tidak langsung pembaca yang pandai menilai akan memberikan pandangan yang berlainan daripada laporan negatif yang disiarkan.
Mengulas mengenai desakan beberapa bahagian SPDP ke atas mereka, Dr Tiki berkata mereka tidak ada hak untuk campur tangan dalam urusannya lagi kerana beliau bukan lagi ahli SPDP.
“Siapa mereka untuk mendesak saya untuk dan rakan-rakan yang lain untuk meletak jawatan.
“Hanya rakyat boleh memberitahu kita siapa yang layak dan tidak layak untuk terus berdiri sebagai wakil rakyat,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment