BERTEMU dengan Naib Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang ini semacam berjumpa 'orang baru' daripada Barisan Nasional (BN). Orang baru yang pada pengamatan penulis ialah individu yang suka berterus-terang, tidak retorik dan menyerlahkan tabir realiti sebenar cabaran BN masa kini.
H'ng Khoon Leng baru berusia 47 tahun tetapi di kalangan pemimpin dan ahli komponen BN Pulau Pinang, beliau dikenali sebagai seorang yang agresif, berhati waja dan berani tampil memperjuangkan dasar-dasar parti.
Memang sukar menemui pemimpin muda seperti Khoon Leng dalam Gerakan seperti mana sebelum ini. Kalau nampak serupa pun perawakannya mungkin seperti rakan seperjuangannya, Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow.
Kadang kala kelantangan Khoon Leng kurang disenangi terutama apabila beliau tidak gusar 'menegur' bos sendiri dalam Gerakan.
Menemui Khoon Leng di Georgetown Khamis lepas untuk menyelami isi hati pemimpin muda itu serta berkongsi pengalamannya mengenai senario semasa politik Pulau Mutiara. Beliau dalam nada keyakinan yang tinggi menarik perhatian bahawa: "Tidak mustahil bagi BN untuk merampas semula Pulau Pinang."
Ini bersandarkan beberapa faktor. Faktor teratas sekali ialah hubungan di antara parti-parti komponen BN di Pulau Pinang semakin baik. Meskipun begitu, tegasnya, untuk mencapai matlamat tersebut, BN mestilah lebih berani lagi mentransformasi gerak kerja sedia ada dalam kalangan mereka.
"BN boleh menang di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Tapi kalau mahu ikut cara sekarang tidak boleh. Kena berani lakukan lagi transformasi.
"Peringkat buat kerja kita tidak cukup. Amalan kamu buat kerja kamu, kami buat kerja kami adalah salah. Tidak boleh lagi," katanya.
Pada PRU-12 tempoh hari, hanya UMNO bertapak di Pulau Pinang dengan meraih 11 daripada 40 kerusi DUN manakala Gerakan dan MCA kalah semua kerusi yang ditandingi.
Bagi Khoon Leng, BN tidak boleh lagi bergantung kepada seorang pemimpin semata-mata untuk menerajui misi parti di Pulau Pinang.
Sudah tiba masanya beberapa pemimpin lain yang berkebolehan dan disenangi akar umbi turut sama diberi peluang dan diketengahkan.
Apa yang penting pemimpin tersebut memiliki pendirian tegas selain boleh menjaga serta adil kepada semua kaum.
Pada pengamatan beliau, kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidaklah secekap mana mentadbir negeri. Apa yang dilihatnya Guan Eng hanya pandai bermain politik sehingga sebilangan rakyat terpengaruh dan menyokong Setiausaha Agung DAP itu.
"Mereka (kerajaan negeri) mempunyai banyak kelemahan. Guan Eng tidak memperuntukkan masa sepenuhnya untuk mentadbir negeri, banyak main politik sahaja.
"Contoh terbaru, isu penjualan tanah Bayan Mutiara. Dia (Guan Eng) mengaku ia dibuat secara tender terbuka. Walhal banyak perkara yang kita boleh nilai sendiri bahawa proses penjualan tersebut tidak menepati ciri-ciri tender terbuka," ujarnya.
Selain itu, kata beliau, mutu perkhidmatan wakil rakyat pakatan pembangkang juga tidak memuaskan berbanding pemimpin BN. Kepincangan tersebut mungkin tidak dapat dibaca dalam surat khabar tetapi ia sering kali menjadi bahan cerita di kedai-kedai kopi, kata Khoon Leng lagi.
Kata beliau: "Dia (Guan Eng) sebenarnya tiada wawasan. Kalau ada wawasan, dia tidak perlu buat banyak perkara secara ad hoc. Tidak perlu jual tanah di sana sini. Tiada satu perancangan menyeluruh.
Guan Eng yang bukan anak jati Pulau Pinang dilihatnya mempunyai impian menjadikan negeri ini seperti Singapura. Namun Pulau Pinang tidak boleh menjadi seperti republik itu. Ini kerana Pulau Pinang mempunyai budaya dan warisan tersendiri yang perlu dipertahankan.
Di Georgetown sendiri, kata Khoon Leng, banyak hartanah telah dibeli oleh orang luar khususnya dari Singapura.
Perkara ini jika tidak segera dibendung, dikhuatiri sudah terlambat dan kelak menjadikan rakyat Pulau Pinang seperti orang merempat suatu hari nanti - apabila satu persatu kawasan dalam pulau dimiliki orang luar.
Bagaimanapun, kata Khoon Leng, rakyat mungkin tidak sedar perkara ini.
"Dia (Guan Eng) cakap Singapura cukup bagus. Pulau Pinang mahu jadi macam Singapura. Tapi saya takut lama-kelamaan semua warisan Pulau Pinang hilang begitu sahaja.
"Rakyat tidak nampak semua ini. Pemimpin (BN) yang kena sampaikan kepada mereka tetapi tiada yang buat," jelasnya.
Beliau menambah, banyak kejayaan dan perancangan yang baru siap sebenarnya adalah hasil usaha kerajaan BN terdahulu.
Guan Eng 'bijak' menggunakan kelebihan tersebut untuk mencari publisiti sehinggakan perkara-perkara kecil mendapat liputan meluas akhbar-akhbar Cina.
Bagaimanapun, Khoon Leng kecewa kerana ada pemimpin BN tidak mahu mengambil kesempatan tersebut untuk memaklumkan perkara sebenar kepada rakyat.
"Bagaimana rakyat mahu tahu program transformasi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sedang berjalan kalau kita sendiri tidak uar-uarkan.
"Yang saya kecewa, ada pemimpin BN yang tak mahu heboh-heboh kononnya takut jika ada rakyat yang tercicir marah," tegasnya.
Sebelum mengakhiri pertemuan itu, Khoon Leng membisikkan: "BN perlu bertindak lebih tangkas mulai sekarang. Kita perlu menganggap setiap hari umpama sedang berdepan pilihan raya jika mahu menawan semula negeri ini.
"BN bukan sahaja kena rajin tapi juga perlu lebih 'pandai'. Setiap apa yang dibuat mesti dianggap sebagai satu perang demi mengembalikan maruah BN.
No comments:
Post a Comment