Monday 13 February 2012

Kerajaan sentiasa cari idea untuk kesejahteraan rakyat – PM

13/02/2012 11:15am

PUTRAJAYA 13 Feb. – Pentadbiran negara sentiasa mencari idea-idea baru, dan berusaha menampilkan pendekatan-pendekatan yang lebih efektif dalam menyelesaikan sebarang masalah, demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihak pentadbiran sentiasa berusaha mencari jalan untuk mencapai hasil yang lebih berkesan menggunakan peruntukan yang minimum, untuk mencapai matlamat yang diharapkan.
"Apa yang saya harap, bersama dengan rakan-rakan anggota pentadbiran, ialah kita dapat beri lebih tumpuan dan komitmen tidak berbelah bahagi kepada rakyat,” katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Perdana di sini pagi ini.
Beliau berkata, setiap perkhidmatan yang diberikan perlu sampai kepada kumpulan sasaran, iaitu rakyat, supaya setiap rakyat mencapai kepuasan yang tinggi, selaras dengan gagasan “1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”.
Menurutnya, kerajaan kini lebih memberi tumpuan kepada pendekatan penyelesaian masalah kerana adakalanya beberapa isu yang bersifat ”cross-cutting” dilihat memerlukan mekanisme penyelesaian masalah sebagai penyelesaian yang berkesan, berbanding pendekatan konvensional yang mungkin hasilnya kurang berkesan.
Najib berkata, sesuatu pendekatan itu tidak seharusnya dikekalkan semata-mata kerana ia merupakan amalan biasa sejak sekian lama, sedangkan apa yang diperlukan ialah idea-idea baru, kreatif, serta pendekatan yang bersifat inovatif dalam mencapai matlamat yang diharapkan dengan lebih berkesan. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment