Saturday 18 February 2012

Hishammuddin tolak spekulasi

Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2012/02/18
HISHAMMUDDIN bertanya sesuatu kepada kumpulan kesenian Orang Asli pada Program Mesra Rakyat bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Pangkalan Tereh, di Kluang, semalam.

HISHAMMUDDIN bertanya sesuatu kepada kumpulan kesenian Orang Asli 
pada Program Mesra Rakyat bersama masyarakat Orang Asli di Kampung 
Pangkalan Tereh, di Kluang, semalam.

Khabar angin bakal dilantik MB Johor sejak empat pilihan raya lalu

KLUANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak mahu melayan spekulasi beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor, sebaliknya komited memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
Sehubungan itu, katanya, sama ada beliau dipilih atau dilantik memegang apa-apa jawatan termasuk Menteri Besar selepas PRU-13 adalah hak dan keputusan mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, jawatan baginya tidak penting berbanding usaha mengukuhkan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya sekali gus memastikan kemenangan.

“Pelantikan jawatan kerajaan hak dan keputusan Perdana Menteri. Jawatan bagi saya tidak penting berbanding tanggungjawab ketika ini mematuhi ingatan pemimpin tertinggi parti termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mahu pemimpin parti berada dalam suasana pilihan raya seterusnya memperkukuhkan jentera parti.

“Itu tanggungjawab saya, bukannya buat spekulasi jawatan. Bagi saya spekulasi akan berpindah bertanding di kawasan tertentu termasuk jawatan MB sudah berlegar sejak tiga atau empat pilihan raya lalu tetapi akhirnya tidak jadi juga.

“Buat apa membazir masa fikir perkara sebegitu, lebih baik tumpukan usaha pada memperkukuhkan jentera kita,” katanya selepas majlis mesra Rakyat bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Pangkalan Tereh, dekat sini, semalam. 
Hishammuddin mengulas ura-ura hangat diperkatakan rakyat negeri ini mengenai kemungkinan beliau dilantik dan dipilih sebagai Menteri Besar Johor menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman.

Sementara itu, katanya, proses ekstradisi rakyat Iran yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin, selepas disyaki terbabit dalam kes serangan bom di Thailand tertakluk kepada undang-undang serta atas permintaan negara berkaitan.

Katanya, ketika ini Masoud Sedaghat Zadeh, 31, masih berada dalam tahanan di sini.

“Proses ekstradisi warga Iran itu banyak bergantung kepada undang-undang sedia ada dan permintaan tetapi apa yang penting beliau kini berada dalam tahanan ketika ini.

“Kita juga belum terima apa-apa permintaan (ektradisi) dari Iran tetapi maklumat diterima, kerajaan Iran menafikan mereka terbabit dengan rangkaian pengganas ini.

“Kita berhubung rapat dengan Thailand serta Iran dalam isu ini. Malah Ketua Polis Thailand, Phrewphan Damapong baru menghubungi saya mengucapkan terima kasih atas penangkapan dilakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment