11/02/2012 12:25pm
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menggesa ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya bersatu padu dan bekerja keras untuk memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke13 (PRU13).
Bekas Bendahari UMNO selama 17 tahun itu berkata, kemenangan parti pembangkang pada pilihan raya umum lalu bukan kerana parti tersebut kuat tetapi kelemahan BN yang tidak bersatu padu.
Katanya, dengan perpaduan, tidak mungkin parti akan kalah pada pilihan raya umum akan datang.
"Kalau ahli parti tidak ada disiplin, hancurlah parti, sebab itu pada pilihan raya 2008, banyak kerusi tumbang. Bukan kerana parti pembangkang kuat tetapi kelemahan kita kerana kita tidak bersatu padu.
"Yang penting, kita buat siasatan mengapa kita kalah dan selepas itu ambil tindakan supaya perkara seperti itu tidak berlaku lagi. Saya percaya, jika kita bersatu padu menentang pembangkang, insya-Allah, kita akan berjaya," katanya.
Beliau juga berkata, BN mampu untuk memenangi kembali Lembah Pantai jika semua ahli parti bersatu padu dan memberi sokongan kepada calon yang dipilih mewakili kawasan berkenaan.
Katanya BN akan dapat menentang pakatan pembangkang kerana parti sentiasa berjuang dengan polisi tertentu dan akan memperoleh kemenangan jika mendapat sokongan dan tiada unsur sabotaj.
Beliau juga berkata isu rasuah, ekonomi, inflasi dan kepimpinan adalah antara perkara yang dijangka menjadi bahan untuk berkempen pada PRU13. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment