Thursday 23 February 2012

Pihak pembangkang bebas meletak calon termasuk luar bandar

Posted on February 23, 2012, Thursday

SIBU: Sebagai sebuah negara demokrasi, pihak pembangkang boleh meletakkan calon mereka di mana-mana kerusi yang ingin ditandingi, termasuk di kerusi luar bandar atau kerusi milik Bumiputera.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman berkata, parti pembangkang seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) kini berpendapat mereka perlu masuk ke kawasan Bumiputera sebagai salah satu strategi mereka.
“Ini kerana tanpa menguasai kerusi Bumiputera, mereka tidak mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan. Oleh itu mereka berasa harus memenangi hati pengundi Bumiputera,” ujarnya ketika ditanya berhubung usaha pihak pembangkang yang kini semakin memberi tumpuan kepada kerusi Bumiputera dan luar bandar.
Menurut Daud, berdasarkan pengalaman pada pilihan raya negeri yang lepas, respons yang diberikan pengundi Bumiputera kepada DAP dan pihak pembangkang tidak banyak.
“Kami yakin BN (Barisan Nasional) boleh menang semua kerusi Bumiputera atau kerusi luar bandar ini,” katanya sambil menambah majoriti undi yang diperolehi terpulang kepada pengundi.
Namun apa yang penting katanya, BN perlu memenangi semua kerusi kerana pihak pembangkang telah berusaha keras selama ini untuk merampas kerusi terbabit daripada tangan BN.
Ditanya berhubung strategi BN bagi menghadapi pembangkang pada Pilihan Raya Umum nanti, Daud berkata kerajaan BN selama ini sememangnya amat rapat dengan rakyat dan telah memberikan khidmat yang baik kepada penduduk di luar bandar.
“Mereka (rakyat) tahu apa yang telah kami lakukan dan penduduk luar bandar masih memerlukan banyak pembangunan.
“Mereka juga sedar hanya BN dapat memberikan pembangunan kepada mereka seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, sekolah dan sebagainya.
“Malah mereka juga gembira dengan apa yang telah BN lakukan selama ini,” tambah Daud.

 

No comments:

Post a Comment