Thursday, 9 February 2012

600,000 daftar saat akhir

 

KOTA BHARU 8 Feb. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan antara 500,000 dan 600,000 pengundi baru akan mendaftar sebagai pemilih pada saat-saat akhir apabila demam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin dirasai.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, secara purata SPR dalam tempoh tiga bulan menerima pendaftaran pengundi baru seramai 200,000 orang dan 50,000 lagi bertukar alamat dengan bilangan itu terus meningkat apabila pilihan raya umum semakin hampir.
"Inilah sikap rakyat Malaysia, suka saat akhir. Bila nama tak sempat diproses kerana mendaftar lewat, dia salahkan SPR. Dia kata dah mendaftar tetapi tak boleh mengundi, dia hebohkan besar-besaran, parti politik pun ambil kesempatan pada hal tiap-tiap hari kita beri ingatan melalui media massa.
"Seramai 3.6 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun belum mendaftar, jadi dekat pilihan raya nanti dia mendaftar. Bila demam pilihan raya mungkin 500,000 hingga 600,000 permohonan, beban nak proses itu bayangkan, jadi kadang-kadang tak sempat nak pamer dan macam-macam, dia pun salahkan SPR. Inilah masalah pada tiap-tiap kali SPR menghadapi pilihan raya umum," katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan taklimat persediaan Pilihan Raya Umum Ke-13 kepada 225 pegawai polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan polis marin di sebuah hotel, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.
Bagaimanapun, Wan Ahmad berkata, SPR bersedia menghadapi situasi tersebut dengan jumlah pemilih terkini dianggarkan 12.4 juta orang dengan Kelantan mempunyai seramai 840,000 pemilih membabitkan 519 pusat mengundi dan 909 barung.
Beliau berkata, seramai 15,655 petugas akan dilantik di negeri ini bagi menghadapi pilihan raya umum nanti dengan 54 pasukan penguat kuasa akan ditubuhkan berdasarkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya.
Mengulas tempoh berkempen, beliau berkata, perkara tersebut akan diputuskan selepas pembubaran Parlimen dibuat.
Menurut Wan Ahmad, SPR tidak berdepan masalah sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum Mac ini atau lebih lewat kerana ia memberi peluang kepada suruhanjaya itu untuk terus memperkemas pentadbiran termasuk memberi latihan berterusan kepada pengawai dan petugas bagi memastikan pilihan raya diadakan dengan lancar.
Beliau berkata, dianggarkan sebanyak RM200 juta diperlukan bagi mengendalikan pilihan raya umum nanti mengambil kira pertambahan bilangan pengundi, pusat mengundi, bilangan petugas seramai kira-kira 200,000 orang dan banyak lagi.
"Itu bajet SPR, tidak termasuk polis dan agensi-agensi lain yang terlibat. Maka itu, rugi rakyat tak mendaftar sebagai pengundi kerana mereka yang akan menentukan masa depan negara," katanya.

No comments:

Post a Comment