Oleh Ziauddin Sharuddin, Ifwan Tun Tuah dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
2012/02/11
SEREMBAN: Datuk Seri Najib Razak, berkata kecekapan pengurusan Kerajaan Pusat memungkinkan perkembangan positif ekonomi negara termasuk kejayaan mencatatkan jumlah dagangan paling tinggi, sebanyak RM1.27 trilion tahun lalu.
Perdana Menteri berkata, jika mengambil kira pendapatan Keluaran Negara Kasar (GDP) sebanyak RM560 bilion, nilai dagangan keseluruhan adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding GDP, sekali gus meletakkan Malaysia antara negara paling tinggi dari segi nisbah antara GDP dan nilai dagangan keseluruhan.
“Ekonomi yang berkembang membolehkan hasil negara bertambah dan dengan kecekapan kutipan hasil, pendapatan negara juga bertambah,” katanya ketika majlis penyerahan Rumah Mampu Milik Kampung Abok oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) kepada kerajaan negeri, semalam.
Pada majlis di Rahang dekat sini, beliau turut menyerahkan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang.
Turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tunku Nujumudin; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron.
Najib berkata, hasil negara juga bertambah RM26 bilion bagi tempoh antara 2010 dan 2011 dan membolehkannya membentangkan Bajet 2012 tahun lalu dengan penuh keyakinan untuk membantu rakyat.
Perdana Menteri berkata, projek SPNB di Kampung Abok adalah antara contoh pengurusan ekonomi yang cekap membolehkan hasil kerajaan tinggi diperturunkan untuk membantu rakyat melalui pemberian geran RM10 juta untuk melaksanakan projek itu.
“Rumah yang saya lihat ini bukan kos rendah, tetapi rumah berkualiti. Mana ada kerajaan di dunia ini dapat menyediakan rumah ‘town house’ kepada mereka yang berpindah sebagai setinggan,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut merasmikan sambutan Perayaan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) dan Perdana Gayong Malaysia Sedunia 2012 di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini.
Beliau yang juga Imam Khalifah Agung PSSGM, berkata rakyat harus mempunyai jati diri yang ampuh dan minda terbuka untuk menimba segala ilmu bagi memastikan kelangsungan dan identiti bangsa tidak mudah tergadai.
Menyifatkan jati diri ibarat akar pokok, Najib berkata, ia perlu kukuh dan teguh agar tidak mudah dicabut mana-mana pihak.
Kira-kira 6,000 pesilat gayong dari seluruh negara termasuk jemputan dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Syria, Thailand, Indonesia, Singapura dan Tunisia, berhimpun untuk memeriahkan sambutan itu.
Turut hadir Mohamad Hasan yang juga Timbalan Khalifah Agung PSSGM; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam merangkap Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Yang Dipertua PSSGM, Datuk Adiwijaya Abdullah.
Perdana Menteri dalam lawatan sehari ke negeri ini memulakan atur caranya dengan mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Ini diikuti majlis penyerahan projek rumah mampu milik Kampung Abok, Rahang dekat sini. Beliau kemudian menghadiri jamuan makan tengah hari bersama pemimpin negeri, parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pegawai kanan kerajaan negeri di sebuah hotel di sini serta menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Sikamat di sini.
No comments:
Post a Comment