Saturday 11 February 2012

Saya Presiden yang diiktiraf

by Agnes Tugong. Posted on February 11, 2012, Saturday

Tiada persoalan lagi, akan hadiri MT BN pada Mac: Chin


Datuk Seri Peter Chin
Datuk Seri Peter Chin

KUCHING: Datuk Seri Peter Chin menegaskan bahawa beliau adalah Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang diiktiraf.
Katanya, ia terbukti apabila beliau menerima notis daripada Barisan Nasional (BN) untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi BN negeri dan pusat pada Mac ini.
Menurut beliau, selepas apa yang telah dilalui dan pelbagai spekulasi yang timbul, kini status beliau sebagai Presiden tidak lagi boleh dipersoalkan.
“Ya, saya adalah Presiden yang sah dan diiktiraf. Saya baharu sahaja menerima notis untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi BN negeri dan pusat, Mac ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bulanan kedua Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) di Ibu Pejabat parti di sini semalam.
Mesyuarat tersebut akan diadakan pada 3 Mac ini untuk peringkat negeri manakala peringkat pusat akan diadakan pada 15 Mac ini.
Dalam perkembangan berkaitan, SUPP turut bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Disiplin SUPP yang akan dipimpin oleh lima orang ahli terdiri daripada mantan pemimpin parti.
Jawatankuasa tersebut, menurutnya, merupakan satu jawatankuasa bebas dan terpulang kepada mereka untuk menentukan pihak yang wajar untuk dirujuk.
Chin turut enggan mengesahkan sama ada Kumpulan Wong Soon Koh antara yang pertama akan dirujuk kepada jawatankuasa tersebut memandangkan ia di luar kausa beliau.
“Kami telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Disiplin SUPP dan ia akan dipimpin oleh lima orang ahli yang terdiri daripada mantan pemimpin parti.
“Susulan itu, Setiausaha Agung Dr Sim Hui Hian akan berbincang dengan mereka mengenai fungsi dan peranan yang akan dilaksanakan kelak,” katanya.
Mengulas mengenai jawatankuasa itu ia akan dipengerusikan oleh mantan wakil Rakyat Bengoh William Tanyuh dibantu oleh timbalannya Bong Kee Ling serta tiga ahli lagi iaitu Tan Chong Meng, Datuk Hii Tiong Kok dan Datuk Ting Ing Meng.
Antara lain, mesyuarat tersebut semalam turut bersetuju untuk melantik pengerusi di tujuh kerusi Parlimen milik SUPP sebagai langkah memperkukuhkan lagi parti.
Katanya, setiap kawasan tersebut akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen sedia ada kecuali Bandar Kuching yang akan dipimpin oleh Dr Sim dan Bandar Sibu oleh Dato Sri Wong Soon Koh.

No comments:

Post a Comment