Wednesday 22 February 2012

KUPEKMAS mampu pengaruhi golongan majoriti senyap sokong kerajaan

Minda Pengarang:
2012/02/22

AGENDA utama penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Kelab UMNO Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) antara lain bertujuan untuk menyatupadukan orang Melayu terutama bekas kakitangan awam yang berpecah akibat perbezaan ideologi politik. Kelahiran NGO baru ini memberi petanda jelas betapa pentingnya bekas kakitangan kerajaan bersatu bagi menyokong kerajaan dalam senario politik tanah air hari ini.

Kita percaya pendirian KUPEKMAS yang mahu menggembleng tenaga mereka membantu UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mampu menutup mulut sesetengah pihak yang beranggapan ramai pesara kakitangan kerajaan hari ini sangsi terhadap kepemimpinan kerajaan. Penubuhan KUPEKMAS yang mahu berdamping rapat dengan kerajaan sudah tentu memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana matlamat utamanya ialah untuk menyatupadukan pesara kerajaan, di samping membantu mereka dalam soal kebajikan pesara. Sasaran utama KUPEKMAS juga ialah untuk menarik hampir 500,000 pesara kerajaan, termasuk ahli keluarga mereka menjadi ahli bagi menyokong usaha Perdana Menteri melaksanakan dasar transformasi termasuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ia adalah satu cita-cita besar lagi penting yang perlu dicapai barisan kepemimpinannya. Ia bukan satu misi mustahil walaupun mungkin terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan kerenah dalam kalangan pesara kerajaan atau ahli keluarga mereka kerana tidak boleh dinafikan terdapat sebilangan pesara atau ahli keluarga mereka yang termakan dengan janji manis serta tohmahan yang ditaburkan oleh pembangkang.
Sememangnya menjadi satu tanggungjawab besar dan mencabar bagi pucuk pimpinan KUPEKMAS untuk meyakinkan pesara kerajaan supaya bersikap rasional terhadap usaha Perdana Menteri melaksanakan pelbagai program transformasi negara. Sebagai NGO terancang, KUPEKMAS dilihat mampu mempengaruhi golongan majoriti senyap dalam kalangan pesara untuk terus menyokong kerajaan bagi menjayakan program dirancang pucuk pimpinan negara walau apa pun yang berlaku dalam gelanggang politik tanah air.

Kita melihat sudah sampai masa pesara kerajaan dan ahli keluarga mereka bersatu di bawah payung KUPEKMAS. Sikap pesara yang terus memberi sokongan terhadap program kerajaan adalah tanda mereka bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang selama ini menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka, memberi pelbagai imbuhan dan elaun, di samping tidak melupakan peningkatan amaun bayaran pencen selepas perkhidmatan tamat. Pada masa sama, kita tidak mahu KUPEKMAS menjadi NGO yang syok sendiri seperti hanya memperjuangkan kepentingan individu tertentu sehingga lari daripada matlamat asal penubuhannya iaitu menyokong program dirancang kerajaan demi kepentingan rakyat.

No comments:

Post a Comment