Tuesday, 28 February 2012

Calon menjadi kekuatan PRU-13


PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak sudah meminta rakyat memberikan mandat. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula meramalkan ia akan diadakan pada Mei atau Jun tahun ini.
Nada, bibit dan suara PRU sudah kedengaran. Seringkali ketika dekat dengan PRU, akan kedengaran soal sama ada pencapaian ataupun ketidakmampuan untuk memenuhi janji PRU lalu serta janji semasa termasuk dalam saringan dan perincian pemilihan calon. Sama ada parti baik BN mahupun pembangkang bersedia atau tidak; ada segelintir pemimpin cawangan, bahagian, negeri dan Pusat akan menyatakan mereka sudah bersedia. Atas kapasiti apakah mereka sudah bersedia?
Apakah komunikasi pemimpin, pengikut dan pemimpin-pengikut dalam parti dan dengan parti komponen lain sudah mantap dan kuat? Ada pula yang menyatakan mereka bersedia tetapi parti belum lagi! Soalnya, bagaimana parti akan nampak gah jika pemimpin masih melakukan congakan untuk menjadi calon dari gurkha yang akan pertahankan parti.
PRU akan datang merupakan antara yang paling mencabar. Walau bagaimanapun, apakah pemimpin yang beria-ia hendak menjadi calon ini melihat kesan ke atas parti dari pasca PRU akan datang atau sifat mementingkan diri sendiri masih membelenggu pemikiran mereka.
PRU akan datang perlu mempunyai kualiti calon dan jentera yang kukuh, efektif dan bebas skandal. Ini kerana asas calon akan membolehkan jentera parti bergerak lancar dan secara tersusun boleh membolosi persepsi rakyat dan pendekatan lawan. Bukan tanggungjawab gurkha parti untuk bermati-matian pertahankan calon kerana calon terbaik tidak memerlukan pengenalan melainkan calon yang bermasalah.
Dalam pemilihan calon, ada dilema dalam kalangan pemimpin akar umbi bahawa mereka masih tidak tahu siapakah calon mereka. Ada yang bertanggapan jika diumumkan awal, persediaan lebih rapi dapat dilakukan dan jika diumumkan ketika hampir PRU, ia akan sedikit mengganggu proses persediaan calon dan parti.
Umum awal akan menyebabkan calon berpotensi 'dibogelkan bulat-bulat' dengan pelbagai salah laku dari sekecil yang dilakukan sewaktu kanak-kanak sampai ke perkhidmatan dalam parti. Umum lewat menyebabkan 'calon berpotensi' hanya akan 'separuh bogel' kerana musuh dalam parti tidak berkesempatan memburukkan seseorang calon. Umum awal pun salah; diumumkan lewat pun bermasalah.
Parti politik kebanyakan berhadapan dengan masalah sama yakni perpaduan parti yang bersifat kosmetik dan retorik akan terpancar dengan sifat dalam kalangan pemimpin atau penyokong yang taksub dengan pemimpinnya. Sekiranya pemimpin bahagian tidak terpilih menjadi calon, apakah pemimpin itu sudah bersedia mengorbankan kepentingan sendiri dan bersama penyokongnya memberikan sokongan kepada calon dipilih yang barangkali ahli biasa ataupun bidan terjun di kawasan tersebut?
Jika calon bukan seorang yang popular di kawasan tetapi bersih berintegriti tinggi, bolehkah yang lain di kawasan itu mengetepikan kepentingan mereka untuk membawa kemenangan kepada parti. Parti atau personaliti?
Masalah dominan yang besar dalam mana-mana PRU adalah politik hasutan, dengki dan cemburu sehingga membawa kepada sabotaj dalam parti sendiri seolah-olah PRU adalah pemilihan dalam parti. Unsur hasutan akan digunakan jika pemimpin tertentu tidak terpilih sebagai calon apatah lagi jika pemimpin tersebut melakukan pelbagai aktiviti dan program serta berbelanja besar; ia akan dilihat tidak berbaloi dan tidak diberikan ganjaran setimpalnya. Apakah hanya menjadi 'calon', maka ia membolehkan mereka dilihat diberikan pengiktirafan?
Sifat menghasut, dengki dan cemburu tidak dapat dielak kerana ia adalah 'psikik' politik. Ia dilakukan atas kegagalan mengawal perasaan dan emosi kerana kuasa dan kedudukan adakalanya menjadi penentu dalam percaturan politik kepartian dan kebangsaan. Fitnah akan ditabur dan yang palsu menjadi benar; dan yang benar akan mengelirukan umum sehingga mereka merasa muak dengan politik pembunuhan karakter.
Hatta, jika PRU akan dilihat 'ibu segala pilihan raya' dan misi 'hidup atau mati', maka fitnah dan hasutan tidak akan berlaku. Namun, sebagai pemimpin yang bernama manusia, sukar mengetepikan emosi kerana adakalanya pengalaman, pengorbanan masa dan tenaga akan mula dinilai sehingga mempengaruhi keputusan mereka dan penyokongnya.
Ada juga yang berjumpa bomoh dan tok sami untuk mendapatkan petunjuk bagaimana menggagalkan misi seteru menjadi calon. Ada pula menyembur mantera 'sumpahan pilihan raya' dengan prinsip 'jika dirinya tidak terpilih sebagai calon, siapa juga yang dipilih akan dipastikan kalah'.
Ada juga calon yang cuba menggunakan pengaruh sana sini dengan mempromosi diri sehingga cuba mempengaruhi mereka yang dikatakan dekat dengan pemimpin atasan agar bisikan mereka akan membawa harapan.
Bagaimana pula dengan pemimpin yang tidak mempunyai sebarang keinginan untuk menjadi calon atau membodek ke sana ke mari tetapi digemari dan disukai di peringkat akar umbi walaupun tidak menonjolkan diri kepada Presiden parti? Keahlian terus kepada parti BN juga akan mempunyai senarai untuk dipertimbangkan dan bagaimana pula kepimpinan atasan akan memujuk dan memastikan senarai mereka mempunyai kelebihan berbanding dengan senarai yang dikemukakan oleh kepimpinan parti?
Titik kematangan berpolitik bergantung juga kepada pihak atasan kepimpinan parti untuk mencari pendekatan yang menang-menang agar pengalaman dan pengorbanan pemimpin yang digugur atau tidak dipilih dihargai dengan cara yang lain supaya mereka boleh terus menyumbang kepada parti, kerajaan dan negara.
Bagi sesetengah pemimpin yang terlalu lama, mungkin dengan sukarela berundur akan lebih dihormati, beri ruang kepada pemimpin pelapis dan sokong mereka. Bagi pelapis pula, hormati pemimpin lama dan jangan lupa bahawa tanpa mereka yang lama, tidak mungkin parti bertahan.
Jika tidak berkelayakan, baik dari awal menarik diri atau menyatakan pendirian tidak mahu menjadi calon kerana tahu boleh merosakkan parti. Sifat rendah diri dan tawaduk serta ciri kesederhanaan akan dihargai oleh umum.
Parti tidak boleh berhadapan dengan sabotaj dalam PRU akan datang. Ini kerana dengan penguasaan sumber dan guna tenaga, bagaimana boleh tewas melainkan ia adalah musibah sendiri.
Pucuk kepimpinan akan membuat keputusan yang waras, rasional dan bersesuaian dengan persekitaran politik tanah air tetapi apakah jiwa kepimpinan parti juga telah diserasikan dengan alam politik baru ini hanya akan dapat dizahirkan ketika penamaan calon. Masih belum terlambat untuk memastikan yang terbaik untuk parti kerana perubahan bermula dengan pendedahan kewibawaan 'calon'.
Calon menjadi kekuatan dan bukan liabiliti; calon menjadi teras penanda sokongan; bukan penghalang; dan calon menjadi jiwa parti dan bukan jasad yang akan menguburkan parti. Dengar denyutan nadi akar umbi jika ikhlas mahu kemenangan dan bukan sekadar sorakan syok sendiri kerana PRU bukan pemilihan parti tetapi yang akan menentukan masa depan negara jika sekiranya keputusan tepat dibuat. Ia bermula dengan calon, lambang strategi parti.

No comments:

Post a Comment