Wednesday 22 February 2012

Celik politik belia Sarawak rendah

2012/02/22

KUCHING: Sikap individualistik dan kadar celik politik yang masih rendah menjadi punca mengapa Sarawak mencatat jumlah pengundi belia paling rendah di negara ini iaitu hanya sekitar 33 peratus daripada sejumlah kira-kira sejuta pengundi di negeri ini, setakat ini.

Hasil kajian dan soal selidik terkini Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Jeniri Amir, mendapati tahap kesedaran mengenai peranan belia dalam konteks demokrasi masih rendah di Sarawak.

Hasil penemuan kajian itu juga mendapati kebanyakan belia tidak ambil kisah kerana menganggap undi mereka tidak akan membantu mengubah keadaan.
“Justeru, pendidikan politik perlu dipertingkatkan di kalangan generasi muda di Sarawak. Mereka perlu sedar amat penting untuk mendaftar sebagai pengundi, tidak harus bersikap individualistik dan harus memainkan peranan berkesan dalam sistem demokrasi di negara ini,” katanya.

Kajian beliau juga mendapati daripada 2.5 juta penduduk Sarawak, kira-kira 400,000 atau 16 peratus daripada penduduk negeri itu adalah belia berusia antara 20 ke 29 tahun, manakala 345,000 atau 14 peratus lagi belia berusia antara 30 hingga 39 tahun.

Jumlah pengundi belia dari kaum Cina setakat tahun lalu adalah sekitar 100,000, Melayu 70,000, Bumiputera lain Sarawak sekitar 140,000 dan lain-lain sekitar 1,000.

Dr Jeniri mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) / Sabah / Sarawak Ke-6 di Hotel Hilton, di sini, semalam.
Ahmad Shabery berkata, Sarawak mencatat jumlah pengundi belia paling sedikit di negara ini, malah jumlah paling rendah pengundi belia dicatatkan di Bahagian Kuching.

Masalah ini berterusan biar pun pelbagai usaha sudah dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pelbagai agensi kerajaan dan parti politik untuk menarik minat pendaftaran pengundi belia.

“Agak mengejutkan pengundi belia paling rendah di seluruh negara dicatatkan di Kuching. Walaupun Parlimen Bandar Kuching mempunyai Ahli Parlimen muda, masih ramai belia di sini tidak berminat mendaftar sebagai pengundi,” katanya.

No comments:

Post a Comment