Saturday 11 February 2012

Sibu bukan bandar ‘mati’

by Watt Zacchaeus dan Florence Nervyn. Posted on February 11, 2012, Saturday

Pembangunan pesat, dakwaan dibuat golongan berkepentingan politik

SIBU: Sibu sememangnya masih ‘hidup’ dan tiada kaitan dengan dakwaan sesetengah pihak berkepentingan politik yang menyifatkannya sebagai bandar ‘mati.’
Menurut Setiausaha Politik Ketua Menteri, Andrew Shiling Banggit, bandar Sibu masih seperti dahulu meskipun Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah merampas tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pelawan, Bukit Assek dan Dudong serta Parlimen Sibu.
“Kalau ia (bandar Sibu) ‘mati’ sekali pun seperti yang didakwa sesetengah pihak, mungkin ia disebabkan faktor DAP yang kurang aktif untuk melaksanakan apa-apa program atau aktiviti untuk rakyat di sini.
“Ia bukan disebabkan oleh Barisan Nasional (BN). Jika BN memerintah, sudah semestinya bandar ini tidak sepi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa DAP tidak boleh diberi mandat untuk terus memerintah bahagian ini kerana mereka tidak mampu memerintah,” ujarnya kepada pemberita, semalam.
Beliau tidak menolak punca bandar ini disifatkan sebagai bandar ‘mati’ kerana faktor politiknya yang telah beralih kepada kuasa pembangkang.
“Kalau mereka (DAP) membantu rakyat, tidak semua konstituensi mereka yang dapat mereka bantu. Hanya segelintir sahaja… memandangkan mereka tidak mempunyai dana yang cukup seperti wakil rakyat BN. Mereka hanya tahu cakap sahaja.
“Satu faktor lagi, mungkin disebabkan ramai rakyat Sibu telah berhijrah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan.
“Walau bagaimanapun, projek pembangunan di bahagian ini memang rancak berlaku seperti yang dijadualkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sibu, Rudy Anoi berkata, bandar ini sememangnya masih rancak dengan pelbagai program dan aktiviti seperti tahun-tahun lalu kecuali Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) yang tidak dianjurkan pada tahun 2011.
“Pada tahun ini, bandar Sibu akan terus meriah dengan pelbagai program dan aktiviti pelancongan dan ia tidak sepi seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak.
“Tahun lepas pun, pelbagai program pelancongan diadakan kecuali BCF. Bandar ini masih rancak dengan program terutamanya pada tahun ini kerana BCF akan dianjurkan semula.
“STB juga menerima peningkatan pelancong asing dari tahun ke tahun. Ia tidak dipengaruhi dengan mana-mana politik. Lagi bagus kalau program dan aktiviti yang melibatkan pelancongan di sini tidak melibatkan campur tangan politik,” ujarnya.
Rudy menjelaskan pada tahun ini, bandar Sibu akan dimeriahkan dengan pelbagai program pelancongan yang telah disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak seperti Cub Prix Sibu Series (28-29 Mei), BCF (13-21 Julai), Sibu Base Jump (20-23 September), Perarakan Krismas Sibu (17 Disember) dan menghitung detik Tahun Baharu (31 Disember).
“Semua program itu sudahpun disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak dan ia akan dijalankan pada tahun ini. Tuduhan bahawa bandar Sibu ‘mati’ adalah tidak berasas dan pihak yang mengatakan demikian adalah mereka yang dipengaruhi dengan politik,” tambah beliau.
Sementara itu, Residen Sim Kok Kee berkata, bandar Sibu terus menikmati kemakmuran pembangunan yang pesat dan maju dengan pelaksanaan pelbagai bentuk pembangunan rakyat.
Beliau berkata, projek pembangunan rakyat di bandar ini masih berjalan lancar mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
“Bandar Sibu kian pesat membangun dengan pelaksanaan projek pembangunan dan kemudahan rakyat seperti pembinaan jalan raya, bekalan air bersih, Rancangan Tebatan Banjir dan lain-lain.
“Cuma pelaksanaan projek pembangunan ini tidak diuar-uarkan untuk tujuan publisiti. Kerajaan melaksanakan projek pembangunan untuk kebaikan rakyat,” jelasnya.
Tambah beliau, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), pelaksanaan projek pembangunan ternyata dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat.
“Secara keseluruhanya, bandar Sibu terus membangun meskipun faktor geografinya terletak di kawasan tanah paya di mana kos pembangunan agak tinggi berbanding di bandar lain,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Sim berharap penduduk Sibu dapat memberi kerjasama dengan jabatan-jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta dalam memastikan matlamat pembangunan Sibu tercapai.
“Tanpa kerjasama semua pihak, agak sukar untuk kita memastikan bandar Sibu terus maju, pesat membangun seiring dengan pembangunan bandar-bandar lain,” katanya lagi.
Menurut Sim, pihaknya tidak pernah bersifat tutup pintu kepada mana-mana pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan untuk meluahkan pendapat.
“Pejabat Residen Sibu bersedia mendengar dan mengenal pasti apa jua masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi menerusi dialog,” jelas beliau.

No comments:

Post a Comment