Friday 17 February 2012

Masalah pengundi muda serius

RAKYAT Malaysia perlu mengikis sikap tidak mahu menggunakan hak mengundi semasa pilihan raya. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keselesaan menjalani kehidupan tanpa sebarang ancaman keselamatan menjadi punca 3.7 juta rakyat Malaysia tidak mendaftar sebagai pengundi.
Pensyarah Politik dan Pentadbiran Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, kira-kira 60 peratus daripada jumlah tersebut merupakan golongan muda yang berusia 21 hingga 30 tahun.
“Faktor utama kegagalan 3.7 juta rakyat mendaftar sebagai pengundi dipengaruhi oleh usia mereka yang masih muda dan kebanyakan mereka masih sibuk belajar dan mencari pekerjaan.
“Anak pasca-kemerdekaan tidak nampak perjuangan politik dalam negara dan ada sesetengah daripada mereka menganggap politik itu hanya merupakan hal ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Ahmad Atory, mereka yang membesar pada zaman perjuangan kemerdekaan berlumba-lumba mengundi untuk memilih parti terbaik bagi memerdekakan negara, tidak seperti sikap negatif generasi sekarang.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang menganggarkan seramai 3.7 juta rakyat Malaysia yang mencapai usia 21 tahun dan ke atas dijangka tidak dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan keengganan mereka mendaftar sebagai pemilih.

No comments:

Post a Comment